April 19, 2016

Hanya mampu lihat siling rumah

Mohd Ridzuan menerima kunjungan Skuad Asnaf dan OKU.

BACHOK - Dalam tempoh kira-kira lima tahun ini semua urusan makan minum, malah untuk membersihkan diri digalas isteri.

Semuanya bermula selepas bapa dua anak yang masih kecil ini terjatuh dari pokok kelapa.

Akibat kecederaan dialami, Mohd Ridzuan Mat Nawi dari Kampung Perupuk lumpuh dari bahagian tengkuk ke bawah dan terpaksa menggunakan lampin pakai buang serta beg urin.

Nasib malang Mohd Ridzuan dan keluarga mendapat perhatian Kelab Multimedia Kreatif Universiti Sains Malaysia (USM) dan Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani), di bawah Skuad Jejak Asnaf dan OKU yang menjejaki dan menyampaikan bantuan kepada golongan kurang upaya.

Presiden Kelab Multimedia Kreatif USM, Mohd Tajudin Zakaria berkata, Mohd Ridzuan memerlukan bantuan orang ramai bagi menampung kos lampin pakai buang dan pemakanan khas serta ubat-ubatan.

“Program ini selaras dengan Fasal 4 tujuan dan matlamat Kelab Multimedia USM (5) untuk menjalankan kerja amal bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik yang memerlukan.

“Dalam komitmen membantu golongan asnaf dan OKU ini, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun atas nama Kelab Multimedia Kreatif USM (RHB Islamic Bank: 20305360009725) atau nama Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Maybank: 553104412355),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Insani, Mohd Kufri Omar berkata, menjadi tanggungjawab beliau dan persatuannya untuk menjejaki OKU dan menyalurkan bantuan diperlukan.

Pada ziarah itu, sumbangan berbentuk barangan keperluan dan wang tunai disampaikan Setiausaha Kelab Multimedia Kreatif USM, Mohd Nazri Mat Husin mewakili skuad Jejak Asnaf dan OKU bagi meringankan beban keluarga tersebut.

Sinar Harian 25 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment