April 19, 2016

Enam sekeluarga ikat perut

Samsudin dan Masitah menunjukkan tempayan dan bekas tong air yang digunakan untuk menadah air hujan kerana rumah mereka tiada bekalan air paip.

PONTIAN - Kesempitan hidup memaksa enam sekeluarga tinggal di sebuah rumah sewa tanpa bekalan air di Kampung Dalam Ayer Baloi di sini, terpaksa ikat perut selain tidak mampu untuk menghantar anak dan cucu ke sekolah.

Samsudin Darman, 60, orang kurang upaya (OKU), tinggal bersama isterinya Masitah Syawal, 64, bersama dua anak perempuannya juga OKU, Siti Zaleha, 18, dan Norhayati,17, anak lelakinya Mohd Fauzi,15, dan seorang cucu Mohd Syazwan Abdullah, 9, tahun.

Masitah berkata, keadaan suaminya yang mengalami masalah penglihatan akibat penyakit angin ahmar sejak tiga tahun lalu, menyebabkan dia tidak boleh bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga.

"Mujur tuan rumah tidak halau kami kerana sudah berbulan-bulan duit sewa tidak dibayar. Kami tidak tahu dimana lagi hendak tinggal jika dihalau dari rumah sewa ini.

"Bekalan elektrik pula sudah tiga kali dipotong. Kami terpaksa gunakan air hujan ditadah untuk mandi, minum dan memasak. Jika tiada hujan, kami minta simpati daripada jiran untuk mendapatkan bekalan air," katanya.

Masitah berkata, ada masanya dia tidak mempunyai wang untuk membeli beras dan barang makanan lain menyebabkan anak-anak dan cucunya terpaksa berlapar.

"Kadang kala kami hanya makan ubi yang diambil dari pokok-pokok ubi di tepi jalan.

"Namun ada juga jiran yang datang menghulurkan makanan kepada kami, dapatlah kami mengalas perut," katanya.

Disebabkan rumahnya terletak di kawasan terpencil, Samsudin terpaksa berjalan hampir 2 kilometer untuk mendapatkan teksi ke bandar Pontian bagi mengambil wang bantuan bulanan yang diterima setiap bulan sebanyak RM500.

"Bantuan diterima ini menjadi satu-satunya sumber kewangan kami. Kadang kala belum cukup bulan wang sudah habis beli barang keperluan harian," katanya.

Cucu tiada sijil kelahiran

Masitah turut melahirkan bimbang dengan masa depan cucu tunggalnya, Mohd Syazwan Abdullah, 9, tidak memiliki sijil kelahiran.

"Ibunya Noraziana merupakan anak sulung telah meninggal dunia tahun lepas akibat penyakit batuk kering.

"Sebagai datuk dan nenek kami mengambil tanggungjawab menjaga Syazwan yang sepatutnya sudah bersekolah namun terhalang akibat tidak memiliki sijil kelahiran," katanya.

Dia berharap agar ada pihak tampil membantu menguruskan sijil kelahiran cucunya itu kerana dia dan suami kurang pengetahuan selain kesukaran untuk bergerak ke bandar Pontian.

Mahu bersekolah semula

Bagi Siti Zaharah, 18, dan Norhayati Samsudin, 17, yang mengalami masalah pembelajaran pula berharap dapat ke sekolah semula selepas terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lalu.

Siti Zaharah berkata, selepas ayah mengalami angin ahmar, tiada siapa yang dapat menghantar mereka berdua ke sekolah pendidikan khas.

"Saya mahu jumpa kawan-kawan dan cikgu, seronok pergi sekolah," katanya.

Harap bekalan air paip

Keadaan sekeliling rumah Samsudin  dipenuhi dengan tong-tong air dan tempayan yang digunakan untuk menadah air ketika hujan.

Bagaimanapun sejak dua bulan lalu, tiada hujan berikutan cuaca panas menyebabkan dia sekeluarga terpaksa meminta simpati dari jiran untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Samsudin berkata dia amat berharap agar dapat menikmati bekalan air bersih kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya mengangkat baldi dari rumah jiran.

"Memang harap sangat dapat bekalan air paip. Kesian tengok anak-anak terpaksa angkat air dari rumah jiran untuk mandi. Saya bimbang jika mereka terjatuh ketika mengangkat air," katanya.

Runsing memikirkan masa depan keluarga Samsudin

Bagi jirannya, Noriah Ahmad, 54, pula berkata, dia runsing memikirkan masa depan keluarga Samsudin memandangkan Samsudin dan isterinya Masitah semakin tidak sihat dan dimamah usia namun perlu menjaga dua anak OKU dan seorang cucu.

Katanya, dia sentiasa mendekatkan diri dengan keluarga Samsudin bertanya khabar kerana mereka sekeluarga sukar didekati sebelum ini.

"Mujur rumah saya dan Samsudin dekat, jadi mudahlah untuk mereka mengambil air bersih," katanya.

Jelasnya, dia amat berharap agar ada pihak tampil membantu meringankan beban dihadapi keluarga Samsudin.

Terdahulu, keluarga terbabit  menerima sumbangan barangan keperluan dari Pertubuhan Kebajikan Mualaf daerah Pontian dan Hizbul Tahrir, disampaikan oleh Afendy Ahmad, semalam.

Sinar Harian 1 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment