April 19, 2016

Empat remaja maut nahas


Kemalangan membabitkan dua remaja di Bukit Goh, Kuantan.

RAUB - Dua remaja terbunuh apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung di Kampung Bukit Pampong, Ulu Dong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan penduduk tempatan meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Muhamad Zahir Hakim Mahadi, 14, dari Kampung Ulu Jelu, Dong meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raub (HR), manakala Muhamad Faizul Islami, 16, dari Kampung Kuala Gali, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Dong.

Sasatan turut mendapati, kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian dan tiada lesen memandu.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Polis turut meminta saksi tampil menghubungi Balai Polis Raub di talian  09-3554999 untuk membantu siasatan.

Sementara itu di Kuantan, dua penunggang dan seorang pembonceng maut selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung di  jambatan jalan Kuantan-Neram berhampiran Bukit Goh di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7 petang itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki, Razali Senan, 53, dari Kampung Pelak, Pekan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penunggang motosikal jenis Honda EX5, Amirul Mohd Sofe, 15, dari Taman Desa Teratai  meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya, Alif Akmal Ali, 16, dari Bukit Setongkol meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira jam 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal dinaiki kedua-dua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cenderawasih itu dalam perjalanan dari arah Felda Bukit Goh menghala ke Tanjung Pasir.

“Akibat pertembungan itu, Razali yang bekerja sebagai pemandu bas Rapid dan Amirul cedera parah di kepala. Pembonceng yang turut parah dihantar ke HTAA namun meninggal dunia,” katanya di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, kemalangan berlaku di laluan lurus dalam keadaan cuaca baik.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 31 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment