April 19, 2016

Dua tahun tak tidur malam

Che Nur Fatin Amirah menunjukkan gambar kawasan ekzema pada bahagian kakinya yang berair dan merah ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Depu.

KUALA TERENGGANU - "Sepanjang dua tahun menghidap penyakit ini, dia tidak tidur malam dan hanya tidur pada waktu siang kerana rasa gatal yang teramat sangat menyebabkan dia tidak dapat tidur lena," kata Zaitun Usop, 52.

Menurut Zaitun, anaknya, Che Nur Fatin Amirah Che Hussain, 22, mula menghidapi penyakit ekzema sejak usia 18 tahun selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mula-mula ada bintik merah pada tangan dia macam kena gigit nyamuk, tetapi selepas itu ia semakin gatal dan mula naik ke kawasan lain sehingga hampir seluruh badan, tapi yang paling teruk sekarang di bahagian kaki.

“Pernah suatu ketika bahagian kaki dia yang ekzema itu berair dan ketika itu dia masih menuntut di GiatMara. Balik sahaja dari tempat belajar, habis sarung kakinya basah kerana air bisa itu keluar. Memang masa tu saya dapat rasai penderitaan yang ditanggungnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Depu, di sini.

Zaitun berkata, sepanjang dua tahun anaknya itu menghidapi ekzema, pelbagai ikhtiar dilakukan, bagaimanapun semuanya menemui jalan buntu dan kini Che Nur Fatin Amirah hanya bergantung dengan ubatan hospital dan akan menemui pakar dalam tempoh terdekat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Kami terpaksa berbelanja lebih untuk mencari ubatan yang sesuai dengan penyakit dia. Dengan pendapatan yang rendah, tambahan pula saya tidak bekerja dan hanya mengambil upah menenun kain songket, suami pula bekerja kontrak sebagai tukang sapu dan pada sebelah malam membasuh pinggan di restoran, memang terasa juga bebanan kewangan.

“Saya juga kasihan pada dia kerana dia mahu bekerja membantu keluarga, tetapi tidak mampu kerana penyakitnya itu membataskan pergerakannya. Sehingga kini, dia terpaksa duduk di rumah sahaja,” katanya.

Zaitun berkata, dia turut berasa hairan kerana anaknya itu tidak pernah mengalami penyakit itu ketika kecil begitu juga dengan adik-beradiknya yang lain.

“Rasa pelik pun ada kerana biasanya ekzema ni kena pada bayi atau kanak-kanak. Waktu kecil juga dia tiada penyakit ini sehinggalah berusia 18 tahun.

“Saya ada juga cuba cara rawatan tradisional, ada yang mengatakan berpunca dari benda ‘luar’. Saya pun tak berapa pasti cuma berharap agar dia sembuh dan dapat menjalani kehidupannya seperti orang lain,” katanya.

Menurut Zaitun, Che Nur Fatin Amirah adalah anak kedua dari empat adik-beradik dan kini masih terdapat dua anaknya yang masih bersekolah iaitu Che Nur Fatin Idayu, 16, dan Che Mohd Izzat Ashraf, 11.

Sementara itu, Che Nur Fatin Amirah berkata, dia berharap agar dapat bertemu sesiapa yang dapat membantu menyembuhkan penyakitnya itu memandangkan dia ingin bekerja dan bergerak seperti individu lain yang normal.

“Saya harap dapat bertemu dengan sesiapa yang boleh mengubati penyakit saya ini dan saya juga tidak mahu menyusahkan ke dua ibu bapa saya kerana mereka telah berhabis banyak duit membawa saya berubat.

“Tetapi, sehingga kini, penyakit ini masih tidak menunjukkan perubahan. Ada lah sikit perubahan dengan ubatan hospital tetapi saya bimbang ia hanya sementara,” katanya.

Sinar Harian 1 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment