April 19, 2016

Dipukul bapa kerana gagal ujian

Kesan lebam di kaki kanak-kanak tersebut dipercayai akibat dipukul bapanya.

JOHOR BAHRU - Akibat berang dengan keputusan ujian yang mengecewakan, seorang bapa bertindak memukul anaknya sehingga lebam di beberapa bahagian anggota badan.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu disedari guru kelas kanak-kanak terbabit yang kemudian melaporkan kepada pihak atasan sekolah sebelum dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor.

Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, dua kakitangan JKM telah ditugaskan bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian sebenar yang berlaku.

“Difahamkan, kanak-kanak yang tercedera itu baru berusia 8 tahun dan dia dikatakan dipukul kerana gagal dalam satu ujian yang baru diambilnya bulan lalu.

“Menurut sumber, mangsa dipukul pada 24 Mac lalu. Empat hari selepas itu, kanak-kanak terbabit mengadu sakit kepada guru kelas,” katanya, semalam.

Menurutnya, JKM turut bekerjasama dengan pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian tersebut.

“Ibunya juga mengakui, bapa mangsa memang ada memukulnya disebabkan gagal dalam satu kertas ujian dan dia juga beritahu, bapa mangsa mempunyai hak bagi membentuk sahsiah anaknya menggunakan cara tersendiri.

“Namun, pihak sekolah membantah perbuatan tersebut dan saran menggunakan cara lain untuk mengajar anak selain memukul, kerana khuatir mangsa akan dibelenggu trauma,” katanya.

Dalam pada itu, Manayi berkata, satu laporan polis telah dibuat kelmarin bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

“Pihak kami dimaklumkan usaha mengesan suspek giat dilakukan dan beberapa pemeriksaan menyeluruh juga akan dibuat terhadap kanak-kanak terbabit,” katanya.

Sinar Harian 2 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment