April 19, 2016

Derita lepas lahir dua hari

AHMAD Jarimi dan Nur Amirah yang menghidap penyakit jantung di Hospital Gleneagles.

Kuala Lumpur: Melihatnya pada pandangan mata kasar, kanak-kanak berusia tiga tahun itu tidak jauh bezanya berbanding anak kecil lain yang suka bermain, namun di sebalik kelincahan itu, dia sebenarnya berdepan masalah jantung dan saluran darah.

Selepas dua hari dilahirkan, doktor mengesahkan Nur Amirah Raihannah Ahmad Jarimi mempunyai masalah pada injap jantung dan saluran darah yang sempit meskipun dilahirkan secara normal tanpa sebarang komplikasi.

Anak kedua kepada pasangan Ahmad Jarimi Hashim, 38, dan Hamidah Hamzah, 34, itu menjadi tidak bermaya kerana kekurangan oksigen jika bermain terlalu aktif.

Menurut Ahmad Jarimi, selepas dua kali menjalani pembedahan dan rawatan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, terdapat perubahan positif pada anaknya itu, malah kesihatannya juga bertambah baik.

“Isteri saya berhenti kerja dan menguruskan anak sendiri kerana disebabkan penyakit itu, dia tidak boleh bergerak aktif dan cepat letih. Paling teruk, keadaannya boleh menjadi kebiruan akibat tidak cukup oksigen,” katanya.

Difahamkan, Nur Amirah Raihannah yang akan menjalani pembedahan di hospital berkenaan memerlukan kos rawatan RM60,000.

Turut mengalami penyakit sama kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, Lie Kai Jun yang akan menjalani pembedahan hari ini.

Menurut ibunya, Lee Shio Hua, 26, anaknya itu memerlukan pemantauan rapi dan kerap berulang-alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Dia tidak boleh terlalu aktif kerana akan menghadapi masalah kesukaran bernafas, oleh itu saya berharap selepas pembedahan esok (hari ini), dia akan kembali sihat dan boleh aktif seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar cek atas nama Tabung Kebajikan Media Prima ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan nama kanak-kanak itu di belakang cek atau ke akaun Maybank 5141-0532-3170.

myMetro 13 April 2016


0 comments:

Post a Comment