April 26, 2016

Dentuman kereta rempuh tembok

KERETA dipandu seorang lelaki jatuh dari tingkat dua tempat letak kereta Flat Mutiara Height, Georgetown.

Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

Georgetown: “Sejurus terdengar dentuman, saya lihat kereta jatuh dan terus berlari ke bilik pengawal keselamatan. Kereta itu pula betul-betul jatuh di tempat saya berdiri sebelum itu,” kata Noor Ismadi Ismai, 34, yang terselamat daripada menjadi mangsa dihempap kereta yang terjatuh daripada parkir tingkat dua Pangsapuri Mutiara Height, Jelutong, jam 7.15 petang semalam.

Noor Ismadi yang bekerja sebagai penyelenggara di pangsapuri berkenaan berkata, ketika kejadian, dia sedang berbual dengan dua rakan yang juga pengawal keselamatan di situ.

“Dua rakan berada dalam pondok pengawal keselamatan. Tiba-tiba saya terdengar dentuman dan terus menoleh ke atas sebelum mendapati sebuah kereta merempuh tembok parkir.

“Saya terus berlari masuk ke pondok pengawal keselamatan. Saya bersyukur kerana tindakan pantas ini menyelamatkan nyawa saya,” katanya.

Dalam kejadian itu, lelaki yang juga pemandu Chevrolet Optra berusia 42 tahun terselamat dan hanya cedera ringan selepas keretanya terjatuh dari tingkat dua parkir pangsapuri berkenaan.

Difahamkan, mangsa bersama isteri baru pulang dari tempat kerja dan isterinya terlebih dulu turun daripada kereta sejurus tiba di parkir itu.

Lelaki berkenaan kemudian mengundurkan kereta untuk memarkir namun dikatakan tertekan pedal minyak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa dibawa ke hospital dan keadaannya stabil.

“Mangsa mengadu sakit dada dan badan, mungkin kerana tersepit ketika terjatuh. Kes masih dalam siasatan,” katanya.

Ini kejadian kedua di pangsapuri itu selepas kali pertama berlaku lapan tahun lalu di mana sebuah kereta terjatuh daripada tingkat lima.

myMetro 26 April 2016



Undur terus ke bawah 

Keadaan kereta mangsa yang jatuh dari tingkat dua tempat letak kereta. - Foto Ihsan Pembaca

Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

Georgetown: Seorang lelaki cedera ringan selepas kereta dipandunya terjatuh dari tingkat dua tempat letak kereta Pangsapuri Mutiara Height, Jelutong, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.15 malam itu, pemandu berusia 40-an berkenaan, dikatakan mahu meletakkan kereta di tempat parkir selepas pulang dari kerja.

Sumber berkata, isterinya turun dari kereta dan lelaki terbabit memandu memasuki petak parkir.

"Bagaimanapun, lelaki berkenaan dikatakan tertekan pedal minyak ketika mengundur dan kenderaannya merempuh tembok sebelum jatuh berhampiran pondok pengawal keselamatan.

"Mangsa dilaporkan cedera ringan dan dikejarkan ke hospital," katanya.

myMetro 25 April 2016




0 comments:

Post a Comment