April 19, 2016

Cucu maut nahas langgar lembu

Sze Yee melihat keadaan motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu. Gambar kecil: Nurul Mya Zulaikha.

SUNGAI SIPUT (U) - Tanggal 26 Mac lalu pastinya menjadi tarikh tidak dapat dilupakan Abdul Rahman Anuar, 57, apabila dia kehilangan cucunya yang terlibat dalam kemalangan.

Lebih memilukan, cucunya, Nurul Mya Zulaikha Muhammad meninggal setelah motosikal ditunggangi ayah kanak-kanak berkenaan melanggar lembu di Jalan Jalong, di sini, malam Sabtu lalu.

Insiden itu bukanlah perkara baharu, malah ia berlaku sejak beberapa tahun lepas dan cucunya bukanlah mangsa pertama yang maut.

Menceritakan semula kejadian tersebut, Abdul Rahman berasa tidak sedap hati apabila anaknya meminta izin untuk membawa cucunya keluar pada malam tersebut.

Katanya, dia tidak melarang kerana ibunya sendiri yang mahu membawa Nurul Mya Zulaikha yang baru berusia 18 bulan keluar ke pekan.

“Kira-kira jam 8 malam, saya mendapat panggilan daripada anak saya, dengar dia menangis dan cucu saya juga menangis dengan kuat. Dia beritahu dia kemalangan.

“Saya terus ambil kereta dan pergi ke lokasi tersebut. Sampai di sana, saya lihat cucu saya sedang menangis dan ada sedikit kesan luka di kepalanya.

“Seorang lagi anak saya, dukung Mya dan kami terus membawanya ke hospital. Sampai di hospital, keadaannya baik dan dia juga tidak menangis langsung,” katanya.

Kata Abdul Rahman, dia kemudiannya pulang ke rumah apabila mendapati anak dan cucunya dalam keadaan baik, panggilan daripada hospital kira-kira jam 2 pagi mengubah segala-galanya.

“Sebaik saja dimaklumkan Mya meninggal dunia, tiada apa mampu saya katakan pada waktu itu. Memang terlalu sedih.

“Sehingga kini saya rasa dia masih ada bersama saya. Bila petang-petang saya selalu bawa arwah ronda kampung, sekarang pun saya rasa seperti ada aktiviti perlu saya buat waktu petang,” ujarnya.

Jalan gelap, banyak haiwan ternakan

Tegasnya, banyak kemalangan pernah berlaku di situ kerana jalannya gelap dan terdapat beberapa lembu sering kelihatan di lokasi tersebut.

Menurutnya, jirannya juga pernah patah kaki dan sehingga kini tidak dapat berjalan dengan baik akibat kemalangan beberapa tahun lepas.

“Memang dari dulu jalan itu banyak kemalangan kerana tempatnya gelap, banyak juga kes berlanggar dengan lembu. Namun, sehingga kini tiada tindakan diambil.

“Rasanya sudah banyak kali penduduk adukan perkara ini ke pihak atasan, namun masih begitu juga. Kita harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan mantan Ketua Kampung Jalong, Osman Mat Taib yang memaklumkan perkara tersebut pernah beberapa kali dibawa ke peringkat atasan sebelum ini.

Katanya, mereka berharap penternak lembu di situ dapat memindahkan lembu mereka atau setidak-tidaknya pihak berkaitan menyediakan lampu jalan di situ.

“Kes ini dah lama, mungkin dah berbelas tahun. Namun, masih belum ada jalan penyelesaian. Mungkin mereka boleh jumpa penduduk kampung dan bincangkan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Jalong, Loh Sze Yee berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan penternak lembu dan mereka juga menghadapi masalah ketiadaan tempat.

Menurutnya, mereka mahu berpindah kerana bimbangkan keselamatan penduduk namun tiada tempat baru disediakan untuk mereka.

“Jadi, pada saya, antara penyelesaian terbaik buat masa ini adalah menyediakan lampu jalan di kawasan itu kerana pada waktu malam, jalan di situ sangat gelap.

“Kalau tidak boleh sediakan sepanjang jalan, sediakan di kawasan-kawasan bahaya pun sudah mencukupi. Kita enggan insiden sebegini berulang,” katanya.

Sinar Harian 1 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment