April 19, 2016

Budak mata biru jadi yatim piatu

Gambar kenangan Mohd Aizat Aiman bersama kedua ibu bapanya.

Ahmad Mustafa bersedia menjaga cucunya yang bermata biru dan berhasrat memindahkan persekolahan ke sebuah sekolah pendidikan khas di Merbok bagi memudahkan mereka memantau keadaannya.

SUNGAI PETANI – Kanak-kanak istimewa bermata biru, Mohd Aizat Aiman, 8, yang pernah menggemparkan negara enam tahun lalu kini menjadi menjadi yatim piatu apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan tragis, kelmarin.

Mohd Aizat Aiman yang merupakan anak tunggal pasangan istimewa yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana bapanya, Mohamad Rizal Salim, 39, cacat pendengaran dan ibunya, Norain Ahmad, 36, mengalami masalah pertuturan.

Kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan menuju ke rumah bapa Mohamad Rizal di Sungai Rambai, Bukit Mertajam sebelum terlanggar sebuah kereta di susur masuk Jambatan Pulau Pinang lebih kurang jam 6.20 petang kelmarin.

Tragedi itu menyebabkan Mohamad Rizal maut di lokasi kejadian manakala Norain yang sarat mengandung lapan bulan juga meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya.

Jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telok Amboi, Kota Kuala Muda kira-kira jam 10 pagi semalam.

Suasana sayu dirasai seluruh ahli keluarga apabila melihat Mohd Aizat Aiman yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan kelihatan sugul akibat tragedi itu.

Dia yang kini bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas Tanjung Bungah, Pulau Pinang dilihat berada bersama datuknya, Ahmad Mustafa, 66, yang juga merupakan bapa kepada Noraini.

Ahmad berkata, dia sekeluarga tidak mempunyai masalah untuk menyara cucunya itu memandangkan semasa kecil Mohd Aizat Aiman tinggal di Kampung Telok Amboi sehinggalah ketika usianya dua tahun, ibu bapanya berpindah ke Pulau Pinang bagi memudahkan mereka bekerja sebagai operator kilang.

Adik Norain, Mohd Arif, 21, berkata, Mohd Aizat Aiman merupakan anak kesayangan kakak dan abang ipar serta ahli keluarga lain cukup menyenanginya kerana dia amat istimewa.

“Semasa kedua ibu bapanya masih ada, mereka sentiasa memenuhi apa sahaja permintaan yang dia mahu kerana tidak mahu dia bersedih dan menyendiri sekiranya kemahuan tidak dipenuhi,” katanya yang berinteraksi dengan Mohd Aizat Aiman menggunakan bahasa isyarat.

Keluarga itu bagaimanapun berhasrat dan bercadang memindahkan persekolahan kanak-kanak itu ke sebuah sekolah pendidikan khas di Merbok bagi memudahkan mereka memantau keadaannya.

Sinar Harian 15 April 2016

0 comments:

Post a Comment