April 19, 2016

'Bohong kalau saya kata tak terbeban'

Mohd Nizam (kiri) memikul tanggungjawab menjaga ibu yang lumpuh dan Norisham (kanan) selepas bapanya meninggal dunia pada 2009.

PASIR GUDANG - “Bohong kalau saya kata tak terbeban perlu menyara emak yang lumpuh dan abang orang kurang upaya (OKU) serta empat anak masih kecil, dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan,” luahnya sedikit sebak.

Mohd Nizam Ahmad Tulis, 30, berkata, dengan pendapatan kurang RM1,500 sebulan itulah digunakan secara berjimat cermat untuk menyara mereka sekeluarga termasuk menampung kos lampin pakai buang emak, Norma Ahmad, 63, dan anak kecilnya.

Menurutnya, walaupun mempunyai 10 adik-beradik, tetapi masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai pendapatan sekadar cukup makan keluarga sendiri.

“Saya rasa terlalu perit menempuh takdir hidup ini dengan bebanan yang bukan sedikit, tetapi saya perlu ikhlas melaluinya kerana mereka darah daging saya.

“Dulu arwah ayah yang jaga emak dan abang, tapi selepas arwah abah meninggal pada 2009, memang 100 peratus, saya sebagai anak bongsu memikul tanggungjawab tersebut,” katanya ketika kunjungan Sinar Harian bersama rombongan Adun Puteri Wangsa, Abdullah Husin di Kampung Pasir Putih, di sini, kelmarin.

Mohd Nizam berkata, dia bernasib baik mempunyai isteri yang sanggup menggalas tanggungjawab menguruskan emak dan abangnya, meskipun mempunyai empat anak berumur setahun hingga 11 tahun.

Menurutnya, abang sulungnya, Norisham , 43, walaupun OKU yang tidak boleh mengurus dirinya sendiri, tetapi ringan tulang.

“Abang long tak usik orang, tapi dia gemar membantu orang termasuk jika ada kenduri di kampung.

“Saya sangat berterima kasih kepada isteri yang boleh berkongsi susah senang bersama saya terutama dalam menguruskan emak dan anak-anak.

“Terima kasih juga kepada pihak Pas yang membantu membaik pulih rumah saya yang usang, kerana inilah satu-satunya tempat kami menumpang teduh,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, pihaknya akan membawa keluarga itu untuk mengemukakan permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya juga telah memperuntukkan RM8,000 untuk baik pulih rumah keluarga itu, yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat hari lagi.

“Peruntukan ini hasil kutipan dengan usaha Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Puteri Wangsa dan JB Prihatin.

“Kita lihat proses membaik pulih rumah ini sudah 80 peratus siap selepas mula dilakukan Khamis lalu," katanya.

Sinar Harian 9 Apr 2016

0 comments:

Post a Comment