April 28, 2016

Bayi 9 bulan derita sakit jantung

Nur Arifah Daumah kini dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.

AZLINA OTHMAN

JOHOR BAHRU - “Besar harapan saya untuk lihat anak dapat membesar seperti adik-beradiknya yang lain, namun saya reda jika ini yang ditentukan ALLAH SWT," kata Raja Roziah Raja Mohd, 30.

Nur Arifah Daumah Mohamad Aswazi disahkan menderita penyakit jantung sejak berusia sebulan dan mengalami masalah usus.

Akibat penyakit tersebut, bayi perempuan yang baru berumur 9  bulan itu kerap dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Menurut Roziah, selepas melahirkan anak ketiganya itu, Nur Arifah Daumah kerap menangis dan hasil pemeriksaan doktor mendapati, bayinya itu mempunyai masalah jantung.

“Selepas itu, pemeriksaan selanjutnya mendapati anak saya turut mengalami masalah usus apabila sukar membuang air besar dan terpaksa menggunakan ubat kerana saluran najisnya kecil.

“Saya tak sampai hati melihat keadaannya kerana dia hanya buang air besar seminggu sekali dan selepas itu dia pasti akan demam.

“Nur Arifah Daumah bayi yang aktif tetapi bila sakit menyerang, dia hanya merengek sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Berikutan keadaan bayinya yang memerlukan perhatian sepenuhnya, Roziah yang mengusahakan warung sebelum ini mengambil keputusan menutup perniagaannya itu.

 "Perbelanjaan keluarga kini bergantung kepada suami yang bekerja di bengkel besi dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.

“Sebelum ini saya sewa rumah tetapi selepas tak berniaga, saya tak mampu bayar duit sewa RM400 sebulan dan terpaksa menumpang di rumah ibu di Kampung Sungai Danga," katanya.

Roziah berkata, pihak hospital belum memberikan keputusan sama ada anaknya perlu dibedah atau sebaliknya, akibat masalah usus dan penyakit jantung yang dihidapi.

“Namun hasil pemeriksaan di klinik swasta, dianggarkan kos diperlukan kira-kira RM20,000 jika dalam masa tiga bulan ini, anak saya perlu dibedah berikutan masalah usus tersebut.

"Manakala, pemeriksaan selanjutnya untuk penyakit jantung pada Ogos depan," katanya.

Sinar Harian 28 April 2016


0 comments:

Post a Comment