April 21, 2016

Bas 'sapu' 12 kenderaan

KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan pembaca

Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my

Ipoh: Sebuah bas milik Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah (KSKB) di sini, yang dipercayai hilang kawalan merempuh 12 kenderaan lain berhampiran simpang lampu isyarat, Jalan Tambun dekat sebuah pasar raya pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi, bas yang dalam perjalanan dari arah Tanjung Rambutan ke pekan Ipoh itu dikatakan hilang kawalan menyebabkan merempuh kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas itu dipercayai gagal mengawal kenderaan dan merempuh kenderaan lain yang berhenti kerana lampu isyarat merah.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Setakat ini tujuh daripada pemilik kenderaan sudah membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 21 April 2016



0 comments:

Post a Comment