April 25, 2016

Balas dendam punya pasal

Tempat kejadian dan motosikal ditunggang mangsa.

Yahya Awang

Taiping : Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dirempuh lori dipandu lelaki lain yang mahu membalas dendam di Larut Tin Sambungan, Pokok Assam, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia 25 tahun menunggang motosikal bersama seorang rakannya yang turut cedera dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harith Kam Abdullah, berkata saksi di tempat kejadian memaklumkan pemandu lori merempuh motosikal mangsa sebelum melarikan diri.

"Soal siasat yang dijalankan mendapati sebelum dilanggar, mangsa terbabit dalam satu pergaduhan yang menyebabkan saudara pemandu lori berkenaan cedera akibat ditetak.

"Kita percayai mangsa sengaja dilanggar oleh suspek berusia 46 tahun kemungkinan bermotif membalas dendam," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

myMetro 25 April 2016


Langgar bermotif balas dendam?

TAIPING – Seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian langgar lari di kawasan Larut Tin Sambungan, Pokok Assam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang berusia 25 tahun maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, hasil siasatan, pihak polis turut menemui sebilah parang yang mempunyai kesan darah berhampiran mangsa.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap saksi, motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah lori yang kemudian bertindak melarikan diri.

“Mangsa yang tidak bekerja turut mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya.

Harrith Kam berkata, ketika kejadian, mangsa bersama seorang lagi individu iaitu pembonceng motosikal berusia 23 tahun dari Taman Semarak, Pokok Assam.

“Pembonceng motosikal terbabit turut cedera dan dihantar ke Hospital Taiping.

“Pembonceng itu juga mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod melibatkan kes dadah,” katanya.

Beliau berkata,siasatan  polis juga mendapati mangsa sebelum itu terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki berusia 54 tahun.

“Dalam pergaduhan itu, mangsa yang berasal dari Larut Tin, Taiping turut mengalami kecederaan akibat ditetak menggunakan parang.

“Malah lelaki itu juga dipercayai mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.

Harrith Kam berkata, melalui rakaman CCTV, polis berjaya menahan pemandu lori yang melanggar motosikal berkenaan.

“Suspek seorang lelaki berusia 46 tahun sengaja melanggar mangsa kemungkinan bermotif dendam,” katanya.

Katanya, kini pembonceng motosikal dan lelaki yang cedera dalam insiden pergaduhan itu juga ditangkap.

“Pemandu lori juga ditahan di Hospital Taiping kira-kira jam 8 malam dan memiliki dua rekod melibatkan kes dadah.

“Suspek dipercayai menyewa lori berkenaan untuk tujuan kerja-kerja mengangkat barang,” katanya.

Tambahnya, punca sebenar kejadian pergaduhan masih dalam siasatan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Wartawan Sinar Harian
26 April 2016



0 comments:

Post a Comment