April 11, 2016

Ahli Wakaka Crew lemas

Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Ahli baru kumpulan tarian Wakaka Crew ditemui lemas selepas mandi di Lubuk Ular, Simpang Pulai, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, Muhammad Zulhafiq Samsudin, 21, dipercayai lemas ketika mandi bersama ahli lain kumpulan itu di kawasan berkenaan selepas menyertai pertandingan tarian di sebuah pusat beli-belah di sini.

Rakan mangsa yang juga ahli asal kumpulan itu ketika memenangi Pertandingan Realiti Showdown 2010, Muhammad Ezhan Asman, 30, atau lebih dikenali sebagai Joe berkata, mereka singgah mandi di kawasan itu ketika dalam perjalanan pulang ke Selangor selepas menyertai pertandingan tarian.

Katanya, arwah pada mulanya terjun ke kawasan dalam di lubuk berkenaan dan terkapai-kapai namun berjaya berenang semula ke kawasan cetek sebelum sekali lagi lemas.

"Selepas melihat dia lemas, rakan kami terjun dan cuba menyelamatkannya namun gagal diselamatkan sebelum hilang menyebabkan kami menghubungi polis dan bomba," katanya yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pagi tadi.

Mayat mangsa dituntut ahli keluarganya pada 11 pagi tadi dan dibawa ke kampungnya di Durian Tunggal, Melaka untuk dikebumikan.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai berkata, mayat mangsa ditemui pada 7.20 malam sebelum dibawa naik dengan bantuan orang awam dan dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat.

myMetro 11 April 2016



0 comments:

Post a Comment