April 28, 2016

12,006 ular ditangkap dek El Nino

ANGGOTA JPAM menunjukkan ular yang ditangkap.

Kuala Lumpur: Ancaman reptilia ular semakin serius. Ini diakui Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tidak menang tangan menangkap 12,006 ekor ular pelbagai spesies mengancam orang ramai sejak fenomena El Nino melanda negara.

Jumlah tangkapan luar biasa membabitkan tangkapan ular di seluruh negara bermula dari bulan Januari sehingga Mac tahun ini.

Berdasarkan statistik JPAM, Selangor mencatatkan kes laporan tangkapan tertinggi 1,528 kes diikuti Perak (1,350 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ( 1,301 kes).

Manakala negeri Pantai Timur, Kelantan mencatatkan (1,266 kes) dan Terengganu (1,257 kes) diikuti Kedah (1,080) dan Johor (1,008) kes dilaporkan sehingga Mac tahun ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi JPAM, Muhd Yusoff Samad berkata, peningkatan panggilan kecemasan membabitkan kemunculan ular di kediaman jelas meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Keadaan panas akibat fenomena El Nino antara faktor ular menceroboh masuk di kediaman penduduk berikutan mahu mencari kawasan sejuk. Malah, kebakaran habitat asal turut menjadi punca.

“Kebanyakan ular ditangkap seperti ular sawa, tedung selar, tedung senduk dan susuk kerbau,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan kes gigitan ular terjadi apabila ular terkejut, terpijak atau tempat kediamannya diganggu sama ada secara sengaja ataupun tidak.

“Kebiasaannya, haiwan ini tidak menyerang manusia kecuali berasa terancam dan sesetengah jenis ular mampu menyemburkan bisa seperti ular tedung.

“Apa yang penting memastikan jarak selamat ketika memantau pergerakan ular dan membuat panggilan kecemasan,” katanya.

Muhd Yusoff berkata, orang awam dinasihati sentiasa berwaspada berikutan kes gigitan ular semakin kerap dilaporkan berlaku.

“Jika terdapat mangsa dipatuk ular, cuba tenangkan mangsa dan nasihatkan mangsa jangan bernafas dengan laju.

“Jangan menyedut bisa ular kerana kemungkinan besar bisa masuk ke dalam tisu mulut,” katanya.

Katanya, laporkan kepada JPAM ataupun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya mendapati ular memasuki kediaman.

myMetro 27 April 2016



0 comments:

Post a Comment