March 20, 2016

Warga emas maut terjatuh bumbung

Kampar: Seorang tukang kayu warga emas maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang kacang, di Mambang Diawan, di sini, ketika membaiki premis berkenaan semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 2.40 petang itu dan berdasarkan siasatan awal mangsa dipercayai terjatuh kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, pada jam 8 pagi pihak kilang mengarahkan dua tukang kayu iaitu mangsa Ho Hooi Tong, 66, bersama Loh Yoke Fong, 63, untuk membaiki bumbung bahagian stor gudang kilang berkenaan.

"Oleh kerana ketika itu atap masih basah maka kerja kerja ditangguhkan sementara dan pada jam 10 pagi kedua-dua pekerja naik ke bumbung gudang menggunakan tangga pada ketinggian kira-kira enam meter untuk memulakan kerja.

"Pada jam 11 pagi rakan sekerja mangsa terdengar bunyi atap pecah lalu menoleh ke arah mangsa yang berada berhampirannya dan mendapati sudah tiada serta atap ada lubang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, rakan mangsa meninjau ke bawah dan nampak mangsa sudah terlentang atas lantai dalam keadaan sedar dan cuba bangun tetapi gagal.

Katanya, rakan mangsa memanggil rakan yang lain untuk membantu menenangkan mangsa yang masih dalam keadaan sedar tetapi tidak boleh bercakap.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kampar dengan ambulans untuk rawatan lanjut, namun pada jam 3.15 petang mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

myMetro 20 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment