March 9, 2016

Warga emas, cucu ke majlis kenduri kahwin terkorban

KEADAAN kereta dan SUV yang remuk selepas kemalangan.

Kota Bharu: Seorang nenek berusia 64 tahun bersama cucu perempuannya yang berada di pangkuannya maut selepas kereta yang mereka naiki berlanggar dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Simpang Tiga Batu Karang, Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas dekat Pasir Mas, kelmarin.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dengan Che Hasnah Che Isa meninggal dunia pada jam 6 petang di Hospital Pasir Mas manakala cucunya Ros Alia Adriana Mohd Fauzi, 5, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, 12.30 tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah hari ketika mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang depan Proton Iswara dipercayai dalam perjalanan menghadiri kenduri kahwin di Rantau Panjang.

“Turut bersama mangsa ketika itu adalah ibu Ros Alia, Rosmawati Daud, 42, yang memandu kereta serta empat penumpang di tempat duduk belakang iaitu kakak Ros Alia, Rossofea, 13, dan Rosdiana, 17, abang Rosmawati, Zaki, 44, serta bapanya Daud, 70.

“Semua mangsa yangcedera dirawat di Hospital Pasir Mas manakala pemandu SUV itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Rosmawati yang keluar simpang menghala ke Rantau Panjang berlanggar dengan SUV berkenaan yang datang dari arah Pasir Mas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

myMetro 7 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment