March 26, 2016

Ular sawa masuk sekolah

FOTO ihsan pembaca

Langkawi: Pekerja pembersihan terkejut apabila mendapati ular sawa berukuran dua meter berlingkar kekenyangan dalam longkang di Sekolah Kebangsaan Seri Lagenda (SKSL) di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, pekerja terbabit sedang membersihkan sampah sarap dalam longkang dan terkejut melihat reptilia itu sebelum melaporkan penemuan itu kepada pengurusan sekolah.

Guru Besar SKSL, Saudah Muhammad Taib berkata, ular sawa itu dipercayai tersesat dari belukar berhampiran sebelum masuk ke kawasan sekolah.

"Selepas dimaklumkan pekerja pembersihan mengenai penemuan ular sawa itu, seorang kakitangan saya segera menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Ular sawa yang kekenyangan itu akhirnya ditangkap anggota JPAM," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Pegawai JPAM Langkawi, Mohd Tajjul Arif Md Ansor mengesahkan ular sawa itu ditangkap anggota JPAM pada 9.24 pagi selepas ditemui berlingkar dalam longkang dalam kawasan SKSL.

myMetro 23 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment