March 16, 2016

Tukang masak ditahan dipercayai dera anak

Kota Tinggi: Seorang tukang masak ditahan kerana dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun sehingga kritikal sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) dengan ambulans kira-kira 10 malam, 7 Mac lalu.

“Bapa mangsa memaklumkan anaknya jatuh di tandas dan tidak sedarkan diri serta mengalami sawan tiga kali.

"Bagaimanapun, petugas hospital yang membuat pemeriksaan awal mendapati ada kesan cucuhan api rokok pada badan mangsa dan kesan lebam di kepala.

"Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi rawatan lanjut kerana keadaannya yang agak kritikal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia kira-kira 2.30 petang pada 11 Mac lalu.

Menurut Rahmat, hasil pemeriksaan lanjut, pihak hospital mengesyaki berlaku penderaan terhadap mangsa dan laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata keterangan awal doktor pakar kanak-kanak di HSI mendapati mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan mata serta kesan lebam pada gusi sebelah kiri.

“Ada juga kesan lebam dan kesan dirotan pada badan mangsa. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah "Acute traumatic subdural haemorrhages", pendarahan dalam selaput otak dan berlaku juga pendarahan pada mata," kata Rahmat.

Bagaimanapun, katanya, doktor belum dapat mengesahkan sama ada pendarahan yang dialami berpunca akibat dipukul atau tidak.

Susulan itu, beliau berkata polis daerah Kota Tinggi menahan bapa mangsa berusia 36 tahun pada hari yang sama.

"Suspek direman dari 7 Mac sehingga semalam (14 Mac) untuk membantu siasatan. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis," kata Rahmat.

Beliau berkata polis masih menunggu laporan penuh daripada doktor pakar berhubung punca kematian kanak-kanak itu untuk tindakan lanjut. BERNAMA

myMetro 15 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment