March 9, 2016

Tiga wanita cedera kereta terbabas

ALOR SETAR 07 MARCH 2016. Keadaan sebuah kereta jenis Honda City yang terbabas di penghadang tepi jalan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kilometer 39.5 berdekatan plaza tol Hutan Kampung mengakibatkan tiga wanita cedera.NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Alor Setar: Seorang wanita patah tangan, manakala dua lagi cedera di badan dan muka selepas kereta dinaiki terbabas sebelum melayang dan terjunam ke dalam longkang berhampiran kawasan sawah padi di Kilometer 39.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung di sini, hari ini.

Kejadian 1.50 petang itu dipercayai berlaku selepas pemandu berusia lewat 20-an gagal mengawal kenderaan selepas dikatakan cuba mengelak kenderaan lain yang cuba menukar laluan secara tiba-tiba.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Yaakob Che Dan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra berkata, pihaknya menerima laporan awal berhubung kejadian pada 1.58 petang dan bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi anggota mendapati ketiga-tiga mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam yang melalui jalan itu.

"Keadaan mangsa masih sedar, namun berlumuran darah selain tidak dapat bergerak berikutan kecederaan dialami," katanya.

Katanya, kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut oleh tiga ambulans dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Jitra dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

myMetro 7 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment