March 9, 2016

Tiga maut kenderaan masuk gaung

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan Bomba

Batu Pahat: Tiga orang termasuk dua wanita maut manakala seorang cedera apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Kangkar Senanga menghala Pagoh, dekat Parit Sulong, kira-kira 5 pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Kasim Ahmad Hamin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 5.13 pagi.

Menurutnya enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu.

"Mereka yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai dua wanita berusia lingkungan 30-an dan 50-an serta seorang lelaki berusia 30-an.

"Seorang lagi lelaki berusia 50-an dilaporkan cedera," katanya.

Menurutnya mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat.

myMetro 9 Mac 2016


Penantian 4 jam bertukar tragedi

Keadaan kereta Perodua Alza yang remuk setelah terbabas ke dalam gaung.


BATU PAHAT - “Kami tak sangka penantian selama empat jam, di mana pada mulanya kegembiraan buat kami tapi akhirnya bertukar tragedi,” kata anak sulung kepada mangsa kemalangan maut, Tan Yu Bin, 18.

Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang baru pulang menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Xiamen, China, terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1.5, Jalan Kangkar Senangar-Pagoh, kira-kira jam 5.30 pagi semalam.

Menurut Yu Bin, sebaik menerima panggilan daripada bapanya, Tan Cherk Wee, 42, pada jam 1.30 pagi, hatinya gembira bercampur teruja kerana tidak sabar bertemu bapanya itu.

'Saya mula resah'

Katanya, setelah puas menunggu selama empat jam, dia hairan dan hatinya terdetik sesuatu setelah bapa bersama ibunya, Phong Ai Li, 40; nenek, Loh Ah Moi, 62 serta datuk, Tan Yee Keong, 64 masih belum tiba.

“Saya yang mula resah dengan kelewatan mereka tiba, cuba menelefon beberapa kali, tapi gagal... pada mulanya saya telefon ayah kemudian ibu, namun kedua-duanya gagal dihubungi.

“Kali terakhir saya dengar suara mereka pada jam 1.30 pagi tadi (semalam), di mana mereka beritahu baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Saya dapat rasakan kegembiraan mereka setelah tiba di tanah air.

“Namun, persoalan yang bermain di fikiran saya akhirnya terjawab apabila sepupu saya hubungi saya beritahu keempat-empat mereka terlibat dalam kemalangan di Kangkar Senangar,” katanya.

Yu Bin berkata, dia diberitahu ibu bapanya dan nenek meninggal dunia di tempat kejadian, sementara datuknya mengalami kecederaan parah.

Perodua Alza dijumpai dalam gaung

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Alza dalam perjalanan pulang dari arah Pagoh yang dijumpai dalam gaung, di tepi jalan.

Beliau berkata, pihaknya percaya kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas, seterusnya merempuh tiang telefon dan pokok kelapa sawit.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

“Manakala seorang lagi penumpang yang mengalami kecederaan parah turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan. Siasatan lanjut berkaitan kemalangan akan dijalankan.

“Daripada siasatan awal, tiada kesan brek atau geseran ditemui di lokasi, namun kereta yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 10 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment