March 13, 2016

Terpaksa berhenti kerja jaga anak

Jamaluddin (kanan) menjaga Amiruldeen (baring) sambil dibantu oleh anak kembarnya, Aminudeen (kiri) dan cucunya, Mohd Rizal Rizuwan.

Mohd Nur Aminudeen yang tidak mempunyai kad pengenalan walaupun memiliki sijil kelahiran yang sah.

SEGAMAT – Seorang bapa tunggal di Taman Ros, Kampung Jawa, di sini, terpaksa berhenti kerja demi menjaga anaknya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) dan menghidap cerebral palsy.

Jamaluddin Ismail, 54, berkata, anak kembarnya, Mohd Nur Amiruldeen, 16, yang juga anak ketujuh dari sembilan beradik itu mula dikesan menghidap penyakit tersebut ketika usianya sebulan.

Katanya, pelbagai ikhtiar dan rawatan telah dilakukan sebelum ini bagi menyembuhkan anaknya, namun tidak berhasil.

"Amiruldeen tak boleh berjalan dan hanya harapkan saya atau adik-adiknya untuk membantu menguruskan diri seperti makan dan minum. Malah, masanya banyak dihabiskan dengan berbaring atas tilam sahaja.

"Dia juga hanya bergantung kepada susu formula khas dan perlu dipakaikan lampin pakai buang setiap masa," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Jamaluddin, kesempitan hidup yang dialaminya juga menyebabkan dia bercerai dengan isterinya beberapa tahun lalu.

Katanya, dia kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, masing-masing sebanyak RM300 dan RM500 yang diberikan kepada anaknya itu.

Jelasnya, selain menjaga anak kembarnya itu, dia turut menjaga anak bongsunya, Siti Nurain, 13, yang kini bersekolah di Sekolah Tinggi Segamat (STS), selain cucu tunggalnya, Mohd Rizal Rizuwan Abdullah, 8, yang ditinggalkan oleh ibunya.

“Setiap hari saya terpaksa berulang alik menghantar dan menjemput Siti Nurain dari sekolah dan saya sendiri menghidap penyakit saraf pada kedua-dua kaki saya sejak 2014 serta tak boleh berdiri dan menunggang motosikal terlalu lama.

“Walaupun tak ada duit yang mencukupi, saya tetap hantar Siti Nurain ke sekolah dan tak mahu menyusahkan anak-anak lain kerana mereka sudah bekerja di luar dan ada yang mengikut bekas isteri,” katanya.

Dalam pada itu, kata Jamaluddin, anaknya, Mohd Nur Aminudeen, 16, terpaksa berhenti sekolah pada umur 13 tahun disebabkan kesempitan hidup ketika itu, selain dia dan pasangan kembarnya tidak mempunyai kad pengenalan walaupun masing-masing mempunyai sijil kelahiran yang sah.

Katanya, dia pernah beberapa kali pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menguruskan kad pengenalan anak kembarnya itu namun tidak berjaya dengan alasan maklumat anak kembarnya itu tiada dalam pangkalan data.

“Kali terakhir saya ke JPN tahun lalu dan mereka minta saya ke JPN Putrajaya namun saya tak mampu untuk ke sana kerana tak ada kereta dan ditambah pula dengan keadaan saya dan anak yang sakit.

“Disebabkan tiada kad pengenalan, Aminudeen hanya bekerja kampung kerana tiada majikan yang ingin mengambilnya bekerja selain terpaksa membawa salinan surat beranaknya ke mana sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Jamaluddin di talian 018-5722009 atau menyalurkannya ke akaun Maybank bernombor 151052022315.

Sinar Harian 11 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment