March 9, 2016

'Terlelap' bawah lori

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

Temerloh: Seorang pekerja bank maut selepas kereta dipandu merempuh belakang sebuah lori membawa muatan kayu di Kilometer 112.5, Lebuh raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Lanchang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.40 malam, Wan Abdul Rahim Wan Roslan, 28, dari Seri Kembangan, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohamad Noor Ali Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu Honda City dipercayai dalam perjalanan menghala ibu negara.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar belakang lori 10 tan.

“Pemandu lori yang menyedari kejadian itu memberhentikan kenderaan dan menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba membantu mengeluarkan mangsa, namun tidak berjaya berikutan lelaki itu tersepit di tempat duduk pemandu dengan bahagian depan keretanya remuk,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, polis meminta bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab yang kemudian memotong bahagian pintu kenderaan itu untuk mengeluarkan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan lurus lorong dua hala dan gelap tiada lampu, malah keadaan cuaca baik serta permukaan jalan kering.

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa mengantuk sebelum merempuh belakang lori berkenaan. Rempuhan itu menyebabkan keseluruhan bahagian depan kereta mangsa remuk.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

myMetro 7 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment