March 20, 2016

Terjatuh ketika memancing

Pasir Mas: Seorang lelaki berusia 27 tahun dikhuatiri lemas ketika sedang memancing bersama rakannya di Kampung Pasir Parit di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, sebelum kejadian mangsa yang belum dikenalpasti identitinya dikatakan terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas, El Taraff Mohd Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.50 pagi sebelum lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya turut mendapat bantuan dari unit skuba BBP Pengkalan Kubor dan Kota Bharu.

"Setakat ini kami berjaya menemui beg sandang dipercayai milik mangsa kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Usaha mencari sedang giat dijalankan," katanya.

myMetro 20 Mac 2016


Sempat minum air zam-zam, buah tamar

“Sebelum kejadian anak saya sempat minum air zam-zam dan buah tamar yang saya beli di Makkah ketika menunaikan umrah sebelum dia dikhuatiri lemas pagi tadi (semalam),” kata Hasmah Abdul Rahman, 57, ibu kepada Che Azhar Che Lodin, 28, dikhuatiri lemas dalam kejadian di kawasan Pam Kemubu di Kampung Pasir Parit, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Che Azhar dikhuatiri lemas ketika meniti laluan besi sepanjang 50 meter untuk memancing sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Hasmah berkata, mangsa bersama dengan rakannya dikenali Zul, 28, keluar memancing dengan menunggang motosikal masing-masing ke lokasi yang jaraknya lima kilometer dari rumah di Kampung Kubang Keli, jam 3 pagi.

“Sebelum itu anak saya sempat minum sedikit air zam-zam dan menjamah buah tamar.

“Tak sangka pula ini pertemuan terakhir saya dengannya sebelum dia dimaklumkan lemas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, petang semalam.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan anaknya yang datang ke rumah jam 7 pagi semalam.

myMetro 21 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment