March 6, 2016

Teringin jumpa Nur Hamidah

Norizan membawa turun Nur Hamidah.

Norizan

Putrajaya: Seorang pegawai bomba yang gambarnya menjadi perhatian ketika dia menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia 18 bulan yang terperangkap dalam runtuhan kondominium Highland Towers pada 1993, sangat berharap dapat bertemu dengan insan berkenaan.

“Jika diberi kesempatan dan diizinkan Allah, saya ingin bertemu dengannya,” kata Norizan Saad.

Norizan, 46, antara watak penting dalam usaha menyelamatkan bayi berkenaan Nur Hamidah Najib selepas ditemui terperangkap dalam runtuhan di blok A Kondominium berkenaan, 23 tahun lalu.

Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Pengurusan Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu berkata, dalam kejadian jam 1.35 tengah hari, 11 Disember 1993 itu, seramai 48 mangsa dilaporkan maut apabila kondominium mewah berkenaan tumbang menyembah bumi.

Mengimbas kembali tragedi itu, Norizan berkata, dia yang baru tiga tahun bertugas sebagai anggota bomba dipertanggungjawabkan membawa turun Nur Hamidah daripada runtuhan berkenaan sebaik ditemui.

“Dia (Nur Hamidah) terperangkap dalam runtuhan. Rakan setugas mengesannya selepas mendengar tangisan. Kita (anggota bomba) mengambil masa agak lama untuk mengeluarkannya kerana bimbang sebarang kesilapan akan menyebabkan runtuhan lain berlaku.

“Sebaik berjaya dikeluarkan, Nur Hamidah diberikan kepada saya untuk dibawa keluar dari kawasan runtuhan,” katanya.

Menurutnya, dalam ingatannya Nur Hamidah ketika itu hanya memakai lampin.

“Tangisannya memenuhi ruang...kuat dia menangis, bayi biasalah. Saya terus peluk dia sebelum bergegas membawanya keluar dari kawasan berkenaan.

“Saya serahkan Nur Hamidah kepada pasukan perubatan yang sudah menunggu di kawasan berkenaan sebelum kembali meneruskan tugas menyelamat,” katanya.

Norizan mengakui penemuan bayi yang terselamat membuatkan harapan semua pihak terutama ahli keluarga mangsa yang terbabit menjadi semakin tinggi.

“Harapan itu dapat dilihat pada riak wajah masing-masing. Mereka sabar menunggu, malah akan ada setiap wakil keluarga di kawasan itu menunggu sebarang perkembangan operasi menyelamat,” katanya.

Menurutnya, Nur Hamidah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk diberikan rawatan susulan.

“Dia individu yang terselamat dalam insiden itu. Ia boleh dikatakan satu keajaiban,” katanya.

Norizan berkata, dia yang bertugas di Pasukan Penyelamat Khas di Balai Bomba Jalan Hang Tuah sebenarnya tidak bekerja pada hari kejadian.

“Kami menerima panggilan kecemasan yang mengarahkan semua yang tidak bekerja perlu masuk bertugas sebelum dikejarkan ke lokasi kejadian menaiki sebuah van,” katanya.

Ketika ditanya mengenai situasi yang dilihat sebaik tiba di lokasi kejadian, katanya, keadaan ketika itu diakui agak kelam-kabut.

“Namun, rakan pasukan penyelamat lain sudah memulakan tugas mencari mangsa terperangkap. Kami yang baru tiba kemudian diberikan taklimat ringkas oleh pegawai sebelum masuk ke lokasi dan memulakan operasi menyelamat,” katanya.

Menurutnya, pengalaman mengendalikan tugas di pasukan khas Balai Bomba Jalan Hang Tuah ketika itu banyak mengajar dia dan rakan dalam operasi menyelamat dilakukan di Highland Towers.

“Kami sudah disediakan dengan latihan yang cukup. Bagi kami, apa yang penting nyawa. Apapun diakui, sebagai manusia biasa saya sendiri pada mulanya sedikit terkejut kerana ia insiden terbesar pada masa itu,” katanya.

Kata Norizan, pada hari ketiga dan keempat, koordinasi antara pasukan penyelamat dalam dan luar negara seperti Jepun dan Perancis menambahkan kekuatan anggota menyelamat.

“Motifnya hanyalah satu, mencari dan menyelamatkan mangsa dengan harapan ada yang terselamat dan bagi saya secara peribadinya, koordinasi itu semakin hari semakin baik sehinggalah operasi (menyelamat) ditutup,” katanya mengakui tragedi itu adalah insiden terbesar membabitkannya sepanjang bertugas sebagai anggota bomba.

myMetro 6 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment