March 16, 2016

Tedung selar ditemui bawah meja


MARANG – Tiga beradik terkejut apabila salah seorang daripada mereka ternampak seekor ular tedung selar di bawah meja, dalam sebuah bilik di rumah mereka di Kampung Kubu, di sini, sekitar jam 4.15 petang kelmarin.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marang, Staf Tinggi (PA) Mohd Zabri Abd Razak memberitahu, khuatir dengan keselamatan diri mereka, salah seorang daripada tiga beradik itu menghubungi ibu mereka yang berada di Merchang ketika itu.

"Ibu mereka kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Marang dan pada masa sama kejadian turut dimaklumkan kepada bapa saudara mereka yang tinggal berjiran.

"Setelah menerima panggilan kecemasan, anggota JPAM dikerahkan secepat mungkin ke rumah berkenaan dan demi keselamatan, tiga beradik itu diminta keluar dari rumah ke tempat lebih selamat," katanya semalam.

Menurutnya, anggota JPAM tiba di tempat kejadian pada kira-kira jam 4.10 petang dan mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap reptilia berbisa sepanjang kira-kira empat meter itu dan dimasukkan ke dalam sangkar untuk dipindahkan.

Dalam pada itu, Mohd Zabri menasihatkan penduduk sekitar daerah Marang agar menghubungi JPAM di talian 09-6181008 dengan segera sekiranya terdapat apa-apa kecemasan termasuk haiwan berbahaya atau berbisa.

Sinar Harian 15 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment