March 18, 2016

Tangan melecur lawan api

ANGGOTA forensik bomba dan penyelamat menjalankan siasatan rumah yang hangus.

Chukai: Seorang remaja melecur di bahagian tangan ketika cuba memadam kebakaran di rumah kedai disewa ibunya dalam kejadian di Kampung Bati 16, Jalan Air Putih, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.20 malam, Nik Man Muhammad Sha, 16, pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, melecur tangan kanan dari paras siku hingga hujung jari.

Ibu remaja itu, Wan Ruhani Wan Muda, 42, berkata, ketika kejadian, dia bersama Nik Man dan anak keduanya Nik Mah Muhammad Sha, 10, sedang bersiap untuk menutup kedai.

“Api yang bermula dari bahagian tengah rumah bangunan kayu ini dipercayai berpunca daripada litar pintas dan merebak ke bahagian ruang tamu serta bilik tidur rumah.

“Melihatkan keadaan berkenaan, anak lelaki sulung saya itu bertindak sendiri memadamkan kebakaran dengan membawa sebaldi air dan sanggup meredah api menyebabkan tangannya melecur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, dia baru berniaga kedai runcit di situ sebulan yang lalu.

Suaminya Muhammad Sha Abdullah, 46, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kedai itu kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang kelapa sawit dekat Air Putih.

myMetro 17 Mac 2016


Lihat anak dalam api marak

KEMAMAN - “Nyawa saya macam direntap dari tubuh bila tengok anak sulung dalam rumah kedai yang sedang terbakar," kata peniaga kedai makan, Wan Ruhani Wan Muda, 42, ketika menceritakan detik dia tiga beranak nyaris maut dalam kebakaran di Kampung Tebak, malam kelmarin.

Kesan kejadian, anak sulungnya, Nik Man Muhammad Sha, 16, melecur dari siku hingga ke hujung jari tangan kanan kerana disambar api.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam semasa Wan Ruhani bersama dua anaknya sedang mengemas rumah kedai selepas habis berniaga untuk pulang ke rumah mereka di Felda Seberang Tayor.

Wan Ruhani berkata, ketika dia sedang membasuh pinggan di dapur, anak bongsunya, Nik Mah, 10, tiba-tiba menjerit ‘Ma, ada api’ sebelum dia melihat api marak di ruang tengah rumah kedai itu.

“Terperanjat saya tengok api dah besar, anak sulung cepat-cepat pergi tadah air. Tapi api merebak cepat, bahang panas pula jadi saya dan anak bongsu terus keluar.

"Waktu itu saya tengok anak sulung sedaya upaya cuba padam api. Beberapa minit saja pintu utama kedai dah terbakar, jadi Nik Man tak dapat keluar. Saya teriak sekuat hati suruh dia keluar ikut pintu dapur,” katanya.

Wan Ruhani bersyukur kerana anak lelakinya sempat keluar sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman di Chukai untuk rawatan.

Tambahnya, ketika kejadian, suaminya, Muhammad Sha Abdullah, 46, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sedang bekerja di Ladang Koperasi Polis Tebak.

Insiden itu mengakibatkan mangsa sekeluarga menanggung kerugian kira-kira RM20,000.

Pemilik rumah kedai, Minah@Aminah Mohd, 68, pula berkata, dia bersyukur kerana mencarum dalam skim insurans ‘Kampung Ku’ yang diperkenalkan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Mujur ada insurans, kalau dapat pampasan nanti makcik nak bina semula rumah di sini dan nak duduk di sini sebab mudah ke masjid,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Parlimen Kemaman diketuai Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Rohani Abdullah menziarahi dan menyampaikan sumbangan wang tunai dan makanan kepada Minah dan Wan Ruhani sekeluarga, semalam.

Rohani berkata, sebelum ini Minah menerima pampasan RM1,000 untuk bencana banjir daripada pihak syarikat penyedia skim insurans Kampung Ku, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad.

“Skim insurans Kampung Ku beri perlindungan kepada semua kes bencana termasuk ribut dan kebakaran. Lepas ini, pihak insurans akan datang nilai untuk tentukan jumlah pampasan.

“Kita harap penyewa dan tuan rumah bersabar. Kita di pejabat parlimen bersama-sama Pejabat Dun Air Putih, JKKK Tebak akan membantu melicinkan proses tuntutan pampasan,” katanya.

Sinar Harian 17 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment