March 20, 2016

Tampal bila-bila masa

MOHD Aza memeriksa tayar pelanggannya.

Dungun: Usaha murni seorang pemuda dari Kampung Nyor, Paka, di sini, yang sanggup bekerja lebih masa dalam menawarkan perkhidmatan menampal tayar motosikal pada lewat malam sewajarnya dihargai kerana membantu menyelesaikan masalah penunggang motosikal ketika berhadapan masalah.

Perkhidmatan yang ditawarkannya tanpa mengira waktu itu juga tidak mengenakan caj mahal sebaliknya hanya kadar bayaran iaitu RM12.

Mohd Aza Razak, 29, berkata, dia mula berkerja sebagai mekanik sejak 17 tahun lalu dan bermula sebagai pembantu mekanik di sebuah bengkel di kampung berkenaan.

“Selepas 13 tahun bekerja dan mengambil pengalaman di bengkel orang lain, saya nekad membuka bengkel sendiri di kawasan rumah.

“Walaupun bengkel saya terletak jauh dari jalan utama namun perkhidmatan yang ditawarkan tetap mendapat sambutan penduduk setempat,” katanya.

Mohd Aza berkata, dia mula menawarkan perkhidmatan menampal tayar motosikal pancit pada waktu tengah malam dan awal pagi sejak empat tahun lalu.

“Perkhidmatan yang ditawarkan itu dijalankan selepas menyedari permintaan terhadap perkhidmatan itu tinggi dalam kalangan pengguna motosikal terutama pekerja di kawasan perindustrian minyak dan gas di Kerteh dan Paka.

“Saya berasa simpati dengan nasib penunggang motosikal yang mengalami masalah tayar pancit terutamanya pada waktu malam.

“Berikutan itu, saya menawarkan perkhidmatan itu dengan harapan dapat membantu mereka yang memerlukan maklumlah bengkel di kawasan itu kebanyakannya menutup operasi pada jam 6 petang,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh dia menawarkan perkhidmatan itu ramai penunggang motosikal yang mengalami masalah tayar pancit terkena paku atau objek tajam di laluan terbabit.

“Saya pernah membaiki motosikal seorang penunggang yang terkandas ketika dalam perjalanan ke Kuala Terengganu kerana tayar kenderaannya pancit pada jam 12.30 tengah malam.

“Jika diikutkan hati, sudah tidak larat untuk membantu berikutan di sebelah siang sudah penat menguruskan bengkel sendiri tetapi apabila mengenangkan kepayahan penunggang motosikal berkenaan, saya menggagahkan diri untuk membantunya,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan tambahan yang dijalankannya itu dianggap sebagai bonus kepadanya bukan hanya untuk memperolehi rezeki lebih malah mendapat kepuasan diri apabila berjaya menyelesaikan masalah dan memberi bantuan kepada orang memerlukan.

myMetro 19 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment