March 26, 2016

Takungan empat empangan kritikal

Keadaan paras air yang merosot teruk di Empangan Timah Tasoh, Perlis. - Foto Fail

Putrajaya: Hanya empat daripada 20 empangan yang dipantau Jabatan Pengairan dan Saliran dalam kategori kritikal setakat Isnin lalu, berikutan gelombang haba sekarang.

Empat empangan itu adalah Empangan Kwong, Kelantan dengan baki takungan 27.9 peratus, Empangan Padang Saga, Langkawi, Kedah (38 peratus), Empangan Labong, Johor (14.3 peratus) dan Empangan Timah Tasoh, Kangar, Perlis (38.8 peratus).

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata, empangan lain mencatat paras baki takungan sekitar 53 peratus hingga 100 peratus.

Wan Junaidi berkata, dalam menangani cuaca panas dan kering, kementerian dan agensi yang terbabit mempertingkatkan usaha pencegahan aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu.

Menurutnya, antara tindakan ialah mengaktifkan pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka di seluruh negara mulai 12 Januari lalu meliputi aktiviti rondaan darat, katanya

Berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar sejak awal tahun ini sehingga 19 Mac, 703 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara membabitkan kawasan hutan, pertanian, industri, tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah dan belukar.

Sebanyak 56 kes pembakaran terbuka dikenakan kompaun, 18 kes dikeluarkan Notis Arahan dan tujuh kes dikeluarkan Surat Arahan.

Tiga kes pembakaran terbuka disediakan Kertas Siasatan untuk diambil tindakan mahkamah.

myMetro 23 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment