March 2, 2016

Tak sempat pulang ke rumah

KEADAAN motosikal Yamaha 135LC dinaiki Navenia (gambar kecil) yang remuk selepas merempuh Perodua Kancil di Lebuh Iskandar Sultan, Iskandar Puteri semalam.

ISKANDAR PUTERI – Seorang suri rumah maut selepas motosikal yang diboncengnya merempuh bahagian belakang sebuah kereta Perodua Kancil di Kilometer 5.2 Lebuh Iskandar Sultan di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, mangsa, W. Navenia, 19,(gambar kecil), meninggal dunia selepas mengalami kecederaan pada kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, motosikal Yamaha 135LC yang ditunggangi suaminya, S. Surendran, 25, hilang kawalan sebelum melanggar kenderaan tersebut.

“Akibat rempuhan itu, wanita terbabit tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Surendran bagaimanapun mengalami kecederaan parah pada kaki dan badan.

“Dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 1 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment