April 19, 2016

‘Tak sempat jamah lauk kegemaran’


Kedua-dua mangsa dibawa naik dari dasar sungai kampung Pulau Rusa oleh penduduk kampung, selepas ditemui lemas di sungai berkenaan, dipercayai pergi memancing.

KUALA TERENGGANU - “Makcik tunggu sampai waktu Maghrib, dia tak balik juga untuk makan lauk yang dipesan,” kata nenek kepada salah seorang mangsa lemas, Muhammad Nor Iman Mamat, 10, yang meminta neneknya memasak nasi berserta lauk daging masak merah untuknya.

Siti Fatimah Mohd, 64, berkata, cucunya itu menyuruh dia memasak lauk berkenaan untuk dimakan pada waktu tengah hari kelmarin, tetapi dia tidak sempat memasak dan hanya menyediakannya pada sebelah petang.

Namun, lauk berkenaan tidak sempat dijamah apabila mangsa ditemui mati lemas bersama rakannya, Muhammad Aiman Muqriz Abdullah, 10, oleh penduduk kampung di dasar sungai kampung Pulau Rusa, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Fatimah berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 7.30 petang kelmarin selepas dimaklumkan anaknya yang menerima kiriman berita dan gambar melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial, facebook.

Kedua-dua mangsa merupakan murid tahun empat dari Sekolah Kebangsaan Durian Burung, dipercayai pergi ke sungai berkenaan untuk memancing kira-kira jam 12.30 tengahari kelmarin.

Kehilangan dua sahabat baik itu disedari penduduk kampung yang curiga melihat dua buah basikal di tepi sungai berkenaan.

Penduduk yang mengesyaki sesuatu apabila melihat basikal yang tidak bertuan itu, mengambil langkah menyelam dan menemui dua mayat mangsa di dasar sungai.

Difahamkan, ketika kedua-dua mangsa menyeberangi sungai, air mula pasang menyebabkan mereka gagal menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.

Sinar Harian 27 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment