March 16, 2016

'Tak sanggup biar mati'




Kuala Lumpur: Ia berlaku secara spontan, saya cuma mahu selamatkan anjing itu daripada dilanggar lebih teruk,” kata Eksekutif Sumber Manusia Anis Hidayah Mohd Taufik, 34, yang videonya menyelamatkan anjing viral di Facebook (FB).

myMetro 16 Mac 2016


'Jadikan Anis Hidayah sebagai contoh'

Kuala Lumpur: "Tindakannya itu memberi mesej kepada semua orang bahawa kita wajar mencintai dan mengasihi haiwan kerana rasa sayang dan kasih itu melangkaui perbezaan bangsa mahupun agama."

Itu kata Penaung Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA), Tan Sri Lee Lam Thye mengenai tindakan Eksekutif Sumber Manusia, Anis Hidayah Mohd Taufik, 34, yang menyelamatkan anjing selepas dilanggar motosikal.

"Ini cerita yang amat menyentuh hati dan perasaan semua pencinta haiwan terutamanya apabila saya membacanya di ruangan muka depan Harian Metro semalam.

"Dia melakukannya secara spontan dan belas kasihannya terhadap haiwan itu sangat terpuji dan dihargai oleh semua pencinta haiwan," katanya.

Lee berkata, sepanjang menjadi penaung kepada SPCA, beliau giat berkempen untuk mendidik masyarakat supaya menghormati haiwan.

"Kita hidup di bumi yang sama dengan haiwan, jadi saya mahu tekankan kepada generasi muda kepentingan rasa kasih kepada alam termasuk haiwan.

"Jadikan saudari Anis Hidayah ini sebagai contoh dan kita perlukan lebih banyak individu seperti dia dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum.

"Ini kerana ada juga orang sanggup membeli haiwan dengan harga mahal tetapi kemudiannya enggan menjaga dan membuangnya di jalanan," katanya yang turut membela empat anjing yang diambilnya daripada SPCA.

Justeru, beliau mahu kisah ini menjadi panduan kepada semua pihak, agar tidak menzalimi haiwan dan mempunyai rasa kasihan serta ingin membantu jika melihat haiwan dilanggar di jalanan.

Video Anis Hidayah mengalihkan anjing yang dilanggar motosikal di Jalan Klang-Banting ke pembahagi jalan menjadi viral dan mendapat respon yang positif daripada pengguna Facebook (FB).

Anis Hidayah dalam laporan semalam berkata, dia sebenarnya tidak suka menjadi perhatian, sekaligus tidak menyangka tindakan spontannya itu memberi impak mendalam kepada masyarakat.

myMetro 17 Mac 2016


Terima kasih Anis Hidayah!

PEMILIK anjing yang mati dilanggar bertemu Anis yang viral ketika cuba menyelamatkan haiwan berkenaan.

Kuala Lumpur: “Saya tak tahu apa nak cakap. Terharu dan nak ucap ribuan terima kasih kepada Anis Hidayah,” kata P Amarawathy, 31, pemilik anjing jantan yang mati dilanggar motosikal di Jalan Klang-Banting, dua minggu lalu.

Video Anis Hidayah Mohd Taufik, 34, yang menyelamatkan anjing milik keluarga Amarawathy yang dipanggil Boboi itu viral di Facebook (FB).

“Adik dan adik ipar saya memang nak sangat jumpa dia kerana mereka berdua paling rapat dengan Boboi,” kata Amarawathy.

Menurutnya, dia menyedari anjingnya diselamatkan Anis Hidayah selepas melihat video yang viral di FB pada hari kedua kejadian.

“Mulanya kami tahu di FB dan kemudian tersiar di muka depan akhbar Harian Metro, Rabu, 16 Mac. Sejak itu, kami sekeluarga cuba mencari Anis untuk ucapkan terima kasih. Nasib baik, saya dapat hubungi dia menerusi Harian Metro,” katanya.

Dia dan dua ahli keluarganya itu bertemu Anis Hidayah di restoran makanan segera di Teluk Panglima Garang atas Harian Metro, Sabtu lalu.

Keluarga itu turut memberikan hamper kepada Anis Hidayah sebagai tanda penghargaan.

Amarawathy yang menetap di Taman Jaya Utama, Teluk Panglima Garang, ketika ditemui sedih apabila bercerita mengenai anjing berusia dua tahun itu yang dianggap seperti keluarga.

“Kami kehilangan ahli keluarga, daripada lapan kini tinggal tujuh saja,” katanya.

Menurutnya, adiknya, A Muthu Chandran, 25 dan adik ipar, B Krishnavani, 24, sampai sekarang tidak lalu makan teringatkan Boboi.

“Ketika hari kejadian, ayah saya bawa Boboi keluar jalan-jalan dan dia terlepas daripada ikatan di pagar rumah. Kami cari dia sekeliling kawasan rumah tapi tidak jumpa. Kemudian ada orang beritahu ada anjing mati di jalan besar kawasan rumah,” katanya.

Amarawathy berkata, Boboi dihadiahkan kepada adiknya, Muthu Chandran sempena hari lahir ke-23 ketika anjing itu masih kecil.

Sementara itu, Anis Hidayah berkata, dia bersyukur kerana dapat bertemu dengan keluarga Amarawathy.

myMetro 21 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment