March 6, 2016

Tahan sakit setengah jam

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Kampar: Dua pemandu kereta berdepan detik cemas apabila kedua-duanya tersepit di dalam kenderaan masing-masing hampir setengah jam di Kilometer 31.1, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Batu Karang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 70 tahun dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu seorang jururawat wanita berusia 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Nissan Sunny yang bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa.

“Siasatan awal mendapati kereta Nissan Sunny yang dipandu oleh seorang pesara berasal dari Kampar Jaya dari arah Ipoh menuju je Kampar dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibat kejadian itu, kereta berkenaan bertembung dengan sebuah lagi kereta yang dipandu oleh seorang jururawat yang menghala ke Ipoh,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kemalangan adalah daripada kecuaian pemandu kereta Nissan dan saman akan dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kampar Mokhtar Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.55 pagi dan enam anggotanya segera ke tempat kejadian.

“Apabila tiba di lokasi, kami mendapati kedua-dua pemandu kereta yang bertembung itu tersepit dan anggota bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya.

myMetro 5 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment