March 9, 2016

'Syukur dapat rakam fenomena gerhana'


ORANG ramai menggunakan Solar 3D untuk melihat fenomena gerhana matahari separa di Masjid Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Putrajaya: Kira-kira 500 pengunjung berkumpul di perkarangan Masjid Putra bagi menyaksikan gerhana matahari separa anjuran Unit Falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Sorang pengunjung, Hasniaty Abdullah, 41, berkata, fenomena yang jarang berlaku ini sangat bermakna bagi dirinya untuk merebut peluang merakam fenomena itu di sini untuk anaknya.

"Syukur saya dapat merakam fenomena ini untuk dikongsi bersama anak saya yang pertama kali merasai fenomena gerhana bulan selain menunaikan solat sunat gerhana.

"Zahir tidak terucap apabila saya sendiri dapat melihat kebesaran Tuhan dengan alatan yg disediakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, solat sunat gerhana dan khutbah turut diadakan yang turut dihadiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

myMetro 9 Mac 2016


Kemarau dijangka berlarutan

FENOMENA gerhana matahari separa dilihat di Pulau Pinang. FOTO Amir Irsyad Omar

Johor Bahru: Semenanjung Malaysia berkemungkinan mengalami kemarau berikutan fenomena gerhana matahari separa dan El Nino yang berlaku ketika ini.

Pakar Astronomi Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah Univerisiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Othman Zainon berkata, kehadiran fenomena gerhana matahari separa menyebabkan jangkaan peningkatan suhu satu hingga dua darjah celsius.

Katanya, kemarau berkenaan dijangka berlarutan sehingga empat hingga enam bulan.

"Fenomena ini mengulangi kejadian kemarau akibat fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku di Kudat, Sabah pada 1995, iaitu pengulangan fenomena setiap 21 tahun sekali. Malah tarikh gerhana matahari separa pada tahun ini dan 1995 jatuh pada hari yang sama iaitu 29 Jamadil Awal.

"Ketika itu negeri Semenanjung Malaysia mengalami gerhana matahari separa dan akibat peristiwa itu taburan hujan dan paras takungan air di empangan turut berkurangan selain cuaca yang tidak menentu. Oleh itu orang ramai perlu menjimatkan penggunaan air untuk kemungkinan itu," katanya.

Katanya, kemarau yang bakal berlaku bukan tiada hujan tetapi kadar taburan hujan akan berkurangan disebabkan faktor sokongan El Nino.

myMetro 9 Mac 2016


Telur tegak ketika gerhana matahari

Ujian menunjukkan telur berdiri yang dilakukan di di Masjid Sayyiddina Abu Bakar di UTeM, Durian Tunggal, Melaka. - Foto NORFAISAL JAHURI

Pelajar teruja melihat telur yang berdiri tegak ketika gerhana matahari di Planetarium Negara pagi tadi. - Foto ASYRAF HAMZAH

Pelajar UTM, Norain Othman. 24, menguji telur berdiri tegak ketika gerhana matahari di lapangan helikopter Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Orang ramai teruja melihat telur ayam 'boleh berdiri' ketika berlaku gerhana matahari separa pagi tadi.

Perkara ini disaksikan pengunjung Planetarium Negara yang mengadakan demonstrasi itu.

Surirumah Jenny Ong, 43, teruja kerana sebelum ini hanya mengetahui telur 'berdiri tegak' ketika sambutan Hari Lap Choon/Li Chun (Hari Telur Berdiri) dalam kalendar masyarakat Cina.

“Beberapa hari sebelum atau selepas sambutan Tahun Baharu Cina, kami akan menegakkan telur ayam di atas lantai pada Hari Lap Choon yang dikatakan kedudukan bulan ketika itu berada dekat dengan bumi.

"Namun selepas melihat demonstrasi pegawai Planetarium Negara, baru saya tahu gerhana juga boleh menyebabkan graviti yang dapat menegakkan telur ayam di atas permukaan rata," katanya.

Planetarium Negara mengadakan program pencerapan gerhana matahari separa anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) hari ini.

Sementara itu Pembantu Pegawai Sains Planetarium Negara, Siti Aminah Arbain berkata telur berdiri berlaku akibat kesan kedudukan bumi, bulan dan matahari berada dalam satu garisan yang menyebabkan wujudnya tarikan graviti.

"Dalam keadaan ini, putih telur tertarik ke bahagian atas telur manakala kuning telur yang sedikit berat berada di bawah sehingga mewujudkan keseimbangan pada telur.

"Saintis berpendapat terdapat garis medan gravitasi antara matahari dan bumi yang mampu mempengaruhi elektron dalam telur sehingga menjadikan ia stabil, sekali gus membolehkannya tegak," katanya.

Lebih 1,000 warga kota membanjiri perkarangan Planetarium Negara bagi menyaksikan fenomena gerhana matahari itu menerusi kaca mata khas dari 7.30 pagi hingga 10 pagi.

myMetro 9 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment