March 18, 2016

Sungai Tembeling makin kontang

TIMBUNAN tanah mendap memenuhi dasar Sungai Tembeling di Ulu Tembeling, Jerantut menyebabkan paras air sungai itu semakin cetek dan hampir kontang.

JERANTUT – Lebih 500 penduduk di Kampung Mat Da­ling, Ulu Tembeling di sini yang bergantung hidup kepada Sungai Tembeling sebagai sumber ekonomi dan sistem pengangkutan seharian berasa pelik selepas paras air di sungai tersebut semakin kontang sejak setahun lalu.

Menurut seorang pe­ngusaha bot, Zakaria Serahan, 37, jika sebelum ini paras air di Su­ngai Tembeling mencecah kedalaman lebih empat meter, namun sejak setahun lalu ada lokasi yang sudah kontang dan air di kawasan te­ngah sungai hanya pada paras lutut.

Katanya, paras air Sungai Tembeling yang semakin tohor menyebabkan ramai pengusaha bot tidak dapat membawa pelancong dan kaki pancing menyusur sungai sepanjang 110 kilometer itu.

“Dahulu penduduk kampung menjadikan aktiviti membawa pemancing ke lubuk ikan sebagai salah satu kegiatan ekonomi.

“Jika dulu pekerjaan ini boleh memberi kami pendapatan pa­ling kurang RM2,000 sebulan, tetapi sekarang hendak dapat RM800 pun susah,” katanya ketika ditemui di Kampung Mat Daling di sini baru-baru ini.

Kosmo 18 Mac 2016



Sungai Tembeling cetek bukan kerana cuaca panas

WAN MABA menunjukkan kayu balak tersangkut di sungai Ulu Tembeling ketika tinjauan kemusnahan tadahan air di Kampung Mat Daling, Jerantut baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Faktor cuaca panas melampau yang melanda negara sejak tiga bulan lalu bukanlah penyebab utama kepada masalah Sungai Tembeling semakin kontang di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.

Menurut Pensyarah Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Awang Noor Abd. Ghani, perubahan persekitaran dan bentuk muka bumi menjadi pengaruh utama masalah Sungai Tembeling cetek dan kering.

Katanya, mendapan pasir dan hakisan tanah yang berlaku di sesetengah kawasan sungai berpunca daripada permukaan tebing atau tanah tersebut tidak lagi dapat menampung kuantiti hujan yang tinggi.

“Permukaan tebing atau tanah yang gondol akan menyebabkan air hujan turut mengalir bersama pasir serta tanah ke sungai sehingga dasar sungai semakin cetek.

“Tanah runtuh serta banjir besar juga mungkin akan terjadi kerana landskap muka bumi diganggu tangan manusia seperti aktiviti pembalakan, perladangan dan pertanian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo 19 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment