March 22, 2016

Sindiran berdarah gelanggang futsal

KEADAAN kepala mangsa yang cedera parah.

Limbang: Kemeriahan pertandingan futsal sempena Pesta Berdudun di Kampung Gadong di sini, jam 4 petang kelmarin bertukar kecoh apabila pemain serta penyokong kedua-dua pasukan bergaduh menyebabkan tiga cedera.

Dua pemain futsal dan seorang penyokong berusia 30-an cedera parah di kepala. Ketiga-tiganya menerima beberapa jahitan di dahi juga kepala.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, pertandingan akhir futsal itu membabitkan pasukan Kampung Pangi dan Kampung Ipai.

“Pasukan Kampung Ipai memenangi pertandingan itu. Sebaik tamat pertandingan, seorang pemain Kampung Ipai menyindir pasukan lawan dengan kata-kata ‘tak pernah main di tempat besar ke’.

“Sindirannya menyebabkan seorang pemain pasukan lawan menghentak kepalanya menggunakan objek keras, sekali gus mendorong berlakunya pergaduhan antara dua pasukan serta penyokong mereka,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Bukhori, pergaduhan berpunca daripada sakit hati kerana kalah dalam pertandingan selain disindir pasukan lawan.

“Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Limbang untuk rawatan. Kami akan menahan individu yang terbabit dalam pergaduhan itu untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 21 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment