March 22, 2016

Separuh tengkorak sudah dibuang

Muhammad Danish Irfan kini terlantar di HKL selepas terbabit dalam kemalangan bersama ibunya di Jalan Sua-Betong, Port Dickson.

Seremban: “Tulang mukanya 100 peratus patah dan separuh tengkorak kepala sudah dibuang untuk mengeluarkan darah beku dalam otak. Danish masih koma dan doktor menunggu otaknya mengecut bagi membolehkan pembedahan seterusnya dilakukan.

“Saya sedih dan simpati melihat keadaan anak saudara saya (Danish) kerana sebelum ini dia seorang yang aktif dan ceria. Kami tidak sanggup melihat keperitan dialami, malah sering mengalir air mata setiap kali melawatnya. Lebih menyedihkan, ibunya sudah sedar namun dia sendiri tidak tahu apa berlaku pada diri dan anaknya.”

Demikian kata Mohamad Shahazudin Manap, 46, bapa saudara kepada Muhammad Danish Irfan Junaidi, 10, yang terbabit kemalangan bersama ibu dan seorang lagi adik lelakinya di Jalan Sua-Betong, Port Dickson, 11 Mac lalu.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, anggota tentera wanita, Norazilla Mansor, 32, yang memandu Proton Saga BLM bersama dua anaknya Danish dan Muhammad Darwish Iqbal, 8, dalam perjalanan pulang ke rumah sebaik mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Si Rusa.

Ketika dalam perjalanan pulang, kereta dipandu Norazilla hilang kawalan dan terbabas mengakibatkan Danish tercampak keluar, manakala Norazilla tersepit.

Kedua-dua mereka cedera parah dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut manakala Darwish cedera ringan.

Shahazudin berkata, Danish kini sedang bertarung nyawa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan akibat kecederaan dialaminya.

“Tengkorak Danish di bahagian kanan dicabut dalam pembedahan untuk mengeluarkan darah beku dan doktor beritahu, ia akan dipasang semula selepas otak mengecut.

“Buat masa sekarang, pembedahan menunjukkan positif dan Danish memberi tindak balas baik, cuma otaknya masih membengkak. Sudah hampir seminggu dia koma,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, berlainan pula dengan keadaan Norazilla yang sudah sedarkan diri, tetapi mengalami masalah ingatan menyebabkan dia memerlukan rawatan rapi di HPD.

Menurutnya, adiknya Junaidi, 32, yang juga seorang anggota tentera terpaksa berulang-alik dari Port Dickson ke Kuala Lumpur untuk menjaga isteri dan anaknya selain dibantu ahli keluarga lain.

“Kita sama-sama mendoakan supaya Danish dan ibunya cepat sembuh. Kami akan terus berusaha tetapi Allah SWT saja yang menentukan-Nya.

“Saya berharap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat menyediakan keperluan dan bantuan kepada adik ipar saya yang bertugas di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson serta anaknya. Itu harapan yang amat tinggi daripada kami sekeluarga,” katanya.

myMetro 21 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment