March 13, 2016

Sempat hantar jemput-jemput ke rumah

Ahmad Mukriz terpelanting lebih kurang 40 meter ke dalam parit berdekatan tempat kejadian.

RANTAU PANJANG – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut selepas dilanggar Toyota Hilux di Kampung Berangan, jam 2.30 petang, semalam.

Murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang, Ahmad Mukriz Mat Zain dipercayai cuba melintas jalan sebelum dilanggar.

Ibu mangsa, Che Nab Daud, 43, berkata, anak bongsunya itu sempat menghantar jemput-jemput yang diberi oleh ibu sepupunya ke rumah, dengan harapan ia dapat menjadi sajian kami sekeluarga.

Namun katanya, selepas meletakkan kuih di rumah, anak kelimanya itu keluar semula dan melintas jalan seorang diri kerana mahu bermain bersama sepupunya dekat sini.

“Saya dimaklumkan, arwah dilanggar oleh kereta dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang dan  terpelanting lebih kurang 40 meter ke dalam parit berdekatan tempat kejadian,” katanya.

Surirumah ini berkata, anak bongsunya itu, ditinggalkan bersama empat lagi kakak serta abangnya di rumah, sebelum dia bertolak ke Kampung Lati bagi membantu tukang masak dalam kenduri di sana.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa yang mengalami kecederaan dalaman, meninggal dunia di tempat kejadian.

Saksi yang melihat kejadian diminta tampil atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 12 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment