March 8, 2016

'Sebab cuai, suami patah paha'

KUALA TERENGGANU - Seorang penjawat awam mendakwa kecuaian kakitangan sebuah hospital, di sini, menyebabkan suaminya patah paha kanan kerana terjatuh di dalam bilik pembedahan, bulan lepas.

Laili Ghazali, 48, mendakwa pada 21 Febuari lalu, jam lebih kurang 10 pagi, suaminya, 63, dihantar oleh Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang, ke hospital berkenaan menggunakan ambulans kerana mengalami masalah kekurangan darah yang memerlukan rawatan susulan.

“Setibanya di wad kecemasan, pihak hospital memaklumkan yang suami saya terpaksa ditahan di wad kerana memerlukan rawatan susulan memandangkan keadaannya ketika itu kurang stabil.

“Pada keesokan harinya iaitu 22 Februari lalu, suami saya dibawa ke bilik pembedahan kerana doktor bertugas memberitahu yang dia perlu menjalani pembedahan untuk memasukkan alat ‘kamera’ bagi mengesan pendarahan di dalam ususnya,” dakwanya kepada Sinar Harian.

Ibu kepada tiga anak ini mendakwa, bagaimanapun, sejurus suaminya keluar dari bilik pembedahan, dia mendapati terdapat beberapa kesan luka di pipi sebelah kanan dan ada juga kesan melecet di paha kanannya seperti baru terjatuh.

“Melihatkan keadaan itu, saya mula hairan dan cuba bertanya kepada jururawat bertugas kerana semasa suami saya masuk ke dalam bilik pembedahan itu, tidak ada sebarang kesan luka di badannya, namun masing-masing hanya memberi jawapan tidak tahu.

“Saya juga ada bertanya kepada suami sejurus dia sedar, tetapi dia juga tidak tahu apa yang telah berlaku kepadanya di dalam bilik pembedahan itu kerana diberi ubat bius,” dakwanya.

Dakwa Laili lagi, pada 23 Februari lalu, suaminya ada mengadu sakit di bahagian paha sebelah kanan dan kepala ketika dia sedang membersihkan badan suaminya itu.

“Risau dengan keadaannya yang mengadu terlalu sakit terutama ketika paha disentuh, saya bertindak menceritakan permasalahan itu kepada doktor yang kebetulan datang untuk membuat rutin pemeriksaan harian.

“Doktor tersebut memaklumkan yang akan membuat imbasan x-ray untuk mengetahui punca sebenar dan telah menetapkan pada 27 Febuari,” dakwanya.

Laili mendakwa, dia terkejut selepas dimaklumkan yang keputusan X-ray mendapati paha kanan suaminya telah patah dan terpaksa dibalut.

“Bertambah mengecewakan saya apabila diberitahu punca paha kanan suami patah kerana terjatuh sendiri semasa masih di dalam bilik pembedahan pada hari dia dibedah.

“Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi yang mendukacitakan, mengapa pihak hospital tidak memaklumkan kepada kami pada hari kejadian lagi sedangkan sebelum itu saya sudah bertanya punca mengapa luka di badan suami,” dakwanya dalam nada sedih.

Dakwa Laili, suaminya kini bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan akibat penyakit yang dihidapinya, malah turut menanggung kesakitan kerana luka dan patah paha kanan disebabkan terjatuh di dalam bilik pembedahan itu.

Kecewa kerana pihak hospital lewat memaklumkan tragedi yang menimpa suaminya itu, Laili mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam masa sama, Ketua Polis Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Sementara itu, pengarah hospital berkenaan ketika dihubungi Sinar Harian menjelaskan kes berkenaan sedang dalam siasatan pihaknya dan enggan mengulas lebih lanjut berhubung insiden tersebut.

Sinar Harian 8 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment