March 26, 2016

Sara hidup hujung usia

MD Nor berehat untuk melepaskan lelah di bangunan kedai di Bandar Baru Sungai Udang.

HAFIZ menulis buku laporan harian pengawal keselamatan.

Melaka: Warga emas, Hafiz Bujang, 67, dan Md Nor Adon, 64, sanggup bekerja 12 jam sehari, tujuh hari seminggu sebagai pengawal keselamatan semata-mata mahu mengejar pendapatan RM1,400 sebulan bagi menyara hidup pada penghujung usia.

Hafiz berkata, majikan memberi mereka cuti namun menolak peluang berehat kerana risau gagal mencapai sasaran gaji ditetapkan, malah mereka sanggup bekerja pada cuti umum kerana habuan bulanan mampu mencecah RM1,600 termasuk bayaran kerja lebih masa.

Katanya, dia dan Md Nor yang juga adik iparnya ditugaskan menjaga deretan 12 rumah kedai di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, membabitkan kedai runcit, restoran dan ruang pejabat.

“Kami memulakan tugas jam 7 petang hingga 7 pagi, kerjanya mudah iaitu hanya memastikan kawasan ini tidak diceroboh. Berbekalkan cotar, air mineral dan lampu picit, kami bergilir-gilir meronda.

“Saya sudah biasa berjaga malam, semuanya kerana mahu mencari pendapatan lebih walaupun meninggalkan isteri berseorangan di rumah kerana lima anak sudah dewasa dan tinggal berasingan,” katanya.

Menurut Hafiz, dia mengakui tugas sebagai pengawal keselamatan tidak sesuai bagi individu berusia sepertinya, malah ada segelintir individu memandang sinis terhadap mereka.

Katanya, dia sekadar menjalankan amanah majikan kerana pada usia seperti itu, mereka tidak mempunyai kudrat untuk mengejar, menahan atau menghalang penceroboh.

“Namun kami berusaha memastikan keselamatan harta diamanahkan, jika mengesan kehadiran individu mencurigakan saya akan hubungi pihak berkuasa untuk membantu melakukan pemeriksaan.

“Ini sumber rezeki kami berdua, majikan memberi saya peluang ketika tiada syarikat lain mahu menggaji kami, tambahan saya tiada kelulusan untuk mencari kerja lain,” katanya.

Datuk kepada 16 cucu itu berkata, sejak bertugas sebagai pengawal keselamatan beberapa tahun lalu, dia jarang bergaul dengan penduduk berhampiran rumahnya kerana banyak menghabiskan masa di tempat kerja.

Sementara itu, Md Nor berkata, dia gembira melakukan pekerjaan itu kerana kehadiran mereka secara tidak langsung membantutkan usaha individu yang berniat jahat untuk menceroboh premis terbabit.

“Jika kami tiada di sini, pastinya kes kecurian meningkat,” katanya.

myMetro 22 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment