March 20, 2016

Rupanya ahli keluarga kemalangan

KEADAAN kenderaan mangsa yang terbabit kemalangan.

Yan: Seorang lelaki tidak menyangka kesesakan jalan raya yang ditempuhi di Jalan Tanjung Jaga, di sini, ketika dalam perjalanan dari Pekan Yan menuju ke Sungai Petani sebenarnya disebabkan kemalangan yang turut membabitkan ahli keluarganya.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, seorang wanita warga emas maut akibat parah di kepala dan badan manakala anak, menantu dan seorang cucunya cedera ringan apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan serta terjunam ke dalam gaung di Jalan Tanjung Jaga, dekat sini.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa, Aishah Man, 75, dikatakan baru saja menghadiri kenduri di Bukit Besar, dekat sini, bersama anaknya, Zainol Ahmad, 46, menantu, Siti Hajjar Abdul Rashid, 36, dan cucu lelaki yang juga anak saudara kepada Zainol dan Hajjar iaitu Mohamad Thuha Zainuddin, dua tahun.

Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tandop Batu, Merbok dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Viva yang dipandu Zainol hilang kawalan menyebabkannya terbabas ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.

Ahli keluarga mangsa, Roshidi Kholin, 45, berkata, dia mendapati deretan kereta diletakkan di tepi jalan di kawasan berkenaan manakala orang ramai pula berkerumun melihat ke arah bawah gaung ketika melalui jalan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak bercadang memberhentikan kereta bagi melihat kemalangan itu kerana mengejar masa selain tiada tempat yang sesuai untuk memberhentikan kenderaannya.

“Saya percaya ketika itu kemalangan ini baru saja berlaku memandangkan langsung tidak melihat kenderaan polis atau ambulans di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, saya tetap meneruskan perjalanan tanpa mengetahui apa sebenarnya yang dilihat oleh orang ramai, namun yakin pasti ada berlaku kemalangan di situ,” katanya ketika ditemui Unit Kecemasan Hospital Yan, di sini.

Katanya, sejurus selepas kira-kira 12 kilometer melepasi lokasi kejadian, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan keluarga sebelah mentua adiknya itu terbabit dalam kemalangan di Tanjung Jaga.

“Tanpa berfikir panjang saya segera berpatah balik ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, saya mendapati semua yang terbabit sudah dibawa ke Hospital Yan.

“Saya kemudian bergegas pula ke hospital dan sebaik tiba, saya dimaklumkan mengenai kematian Aisyah, manakala tiga lagi dirawat di unit kecemasan hospital,” katanya.

Menurutnya, meskipun sedih dengan pemergian seorang ahli keluarganya, namun bersyukur kerana tiga yang lain tidak mengalami kecederaan yang serius.

Katanya, jenazah mangsa dituntut oleh ahli keluarga dan dibawa pulang ke rumah di Kampung Tandop Batu bagi urusan pengebumian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Muhammad Halim Yatim berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan lalu kenderaan itu terbabas masuk ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.

“Bagaimanapun, pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 19 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment