March 9, 2016

Rumah rosak dibadai puting beliung

Kejadian puting beliung yang dirakamkan dari TH Hotel & Convention Center Alor Setar kira-kira jam 3.19 petang hari ini. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Empat rumah di Taman Wira Mergong rosak di bahagian bumbung selepas dibadai puting beliung kira-kira jam 3.30 petang tadi. Sebelum kejadian, pusaran puting beliung itu dilihat di kawasan Titi Gajah, di sini kira-kira jam 3.18 petang sebelum ia bergerak dan membadai rumah di kawasan perumahan tersebut.

Leow Hua Tai, 61, berkata ketika kejadian beliau sedang menonton televisyen bersama isterinya Chu Kooi Hua, 53, di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat di rumahnya.

"Kejadian dalam jam 3.30 petang dan masa itu saya ingat ada orang bermain mercun di hadapan rumah dan apabila saya keluar, saya nampak bumbung telah diterbangkan tetapi tidak nampak pusaran puting beliung tersebut.

"Nasib baik tiada siapa yang cedera dan beberapa keping atap bumbung juga tidak jatuh di atas kereta," katanya yang ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Mohammad Najmi Mazelan, 20, yang merupakan pemilik gerai minuman yang terletak di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong berkata, gerai miliknya yang baharu diusahakan sebulan lepas turut terkena tempias pusaran puting beliung berkenaan.

"Masa kejadian kami sedang melayan seorang pelanggan sebelum secara tiba-tiba khemah terangkat dan kami memang tidak perasan kerana tiada bunyi angin kuat.

"Pusaran itu tinggi dan berwarna hitam dan ia lalu di kawasan kami berniaga dalam tempoh 10 saat sahaja. Selepas melalui khemah kami, pusaran itu terus hilang. Saya bersyukur kerana kami dan pelanggan yang berada di kawasan berhampiran tidak cedera manakala peralatan membuat air hanya mengalami kerosakan kecil sahaja," katanya. -Bernama

Sinar Harian 7 Mac 2016


‘Seperti orang berjalan atas bumbung’

Seorang penduduk membersih serpihan zink dalam surau selepas bumbungnya roboh akibat ribut kelmarin. Gambar kecil: Beberapa zink terpaksa dibaiki selepas ribut merobohkan bumbung surau di Taman Seri Kota, Alor setar, kelmarin.

ALOR SETAR - “Pada mulanya saya hanya dengar bunyi seperti orang berjalan di atas bumbung dan saya sangka pencuri cuba masuk ke rumah lalu bumbung. Bagaimanapun kira-kira 5 minit kemudian terdengar dentuman kuat dan beberapa bumbung rumah saya runtuh,” demikian kata seorang penduduk dari Taman Seri Kota, Langgar, dekat sini,  Fauziah, 54.

Fauziah berkata, kejadian puting beliung itu berlaku jam 4.15 petang Isnin lalu dan sebelum kejadian keadaan kawasan itu agak tenang dan tidak ada angin.

Bagaimanapun, katanya, angin kuat datang secara tiba-tiba sehingga menyebabkan beberapa keping bumbung rumahnya runtuh.

“Saya terkejut dan kaku melihat bumbung rumah runtuh dan lampu gantung hiasan jatuh. Beberapa minit kemudian saya terdengar jiran sebelah rumah keluar dan melaungkan azan hinggalah angin kuat itu beransur berlalu dari situ.

“Bimbang dengan keadaan itu, saya segera hubungi suami supaya pulang melihat keadaan bumbung rumah,” katanya.

Fauziah turut bersyukur kerana selain bumbung, barangan lain yang ada di dalam rumahnya tidak mengalami kerosakan semasa kejadian puting beliung itu.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Ahmad, 36, berkata, penduduk di situ terkejut dengan kejadian itu kerana cuaca ketika itu baik dan tiba-tiba sahaja bumbung surau ranap dalam sekelip mata, bagaimanapun penduduk sudah membaiki kerosakan itu.

Katanya, selalunya angin itu datang dengan kuat dan menerbangkan bumbung rumah, tetapi kali ini bunyi seperti orang berjalan di atas bumbung.

“Beberapa minit selepas itu kami terdengar dentuman kuat di dalam surau dan mendapati bumbung dan syiling surau roboh. Mujur ketika itu tiada seorang pun dalam surau.

“Kejadian itu juga turut menerbangkan khemah di hadapan surau walaupun sudah diikat, tetapi angin kuat itu telah mengangkatnya setinggi lebih tiga meter dan menerbangkannya sejauh 20 meter dari tempat asal,” katanya.

Menurut Zulkifli, kejadian bumbung surau runtuh itu merupakan kali kedua berlaku dan kali ini paling teruk.

Bagaimanapun penduduk sangat berterima kasih kepada Umno Bahagian Pokok Sena kerana memberi sumbangan RM2,000 bagi membaiki semula bumbung surau itu.

Tambahnya, beberapa hari sebelum itu dua rumah turut mengalami kerosakan akibat ribut, tetapi kejadian ini paling teruk sehingga khemah yang diikat turut diterbangkan.

“Setiap tahun penduduk berjaga-jaga kerana kawasan ini laluan angin kuat dan sebab itu beberapa rumah sering rosak akibat ribut,” katanya.

Sinar Harian 10 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment