March 9, 2016

Rumah Nur Iman perlu van baharu


Mohd Farid melihat keadaan van milik Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman yang musnah dalam kebakaran, Khamis lalu.

KUALA ROMPIN – Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman Cawangan Rompin memerlukan van baharu untuk kegunaan harian selepas kenderaan sedia ada milik mereka musnah dalam kebakaran, Khamis lalu.

Pengurusnya, Mohd Farid Mohd Ramly berkata, banyak urusan harian rumah kebajikan terbabit terganggu selepas van digunakan sebelum ini musnah terbakar.

"Van yang musnah itu dibeli hasil sumbangan orang ramai dan baru saja sebulan digunakan.

"Buat masa ini, urusan hantar dan ambil penghuni dari sekolah dibantu guru tempat mereka belajar," katanya.

Dalam kejadian petang 3 Mac itu, van terbabit terbakar selepas berlaku letupan sejurusnya enjinnya dihidupkan.

Empat kanak-kanak dalam van berkenaan bagaimana pun terselamat apabila mereka sempat keluar sebaik menyedari kenderaan itu terbakar.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Kuala Rompin dibantu orang ramai sebelum api dapat merebak ke rumah anak yatim berkenaan.

Mohd Farid berharap ada pihak prihatin yang menghulurkan sumbangan mendapatkan kenderaan baharu untuk kegunaan penghuni rumah kebajikan itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Adni Ibrahim mengesahkan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, kebakaran menyebabkan van Nissan Venette terbabit musnah sepenuhnya.

"Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Difahamkan, van itu digunakan penghuni berulang alik sekolah selain menjadi pengangkutan harian untuk urusan lain berkaitan rumah kebajikan berkenaan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 06019010106019 atau menghubungi Mohd Farid menerusi 013-2001980.

Sinar Harian 7 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment