March 26, 2016

Ribut di Ampangan, Paroi dan Sikamat

Pokok tumbang berikutan ribut di Paroi. FOTO Khairul Najib Asarullah Khan

Seremban: Ribut dan hujan lebat menyebabkan pokok tumbang selain bazar peniaga roboh di beberapa kawasan sekitar Ampangan, Paroi dan Sikamat, petang ini.

Kejadian pada 5 petang itu turut menyebabkan beberapa kenderaan rosak teruk akibat dihempap pokok.

Antara lokasi teruk dilanda ribut ialah Jalan Dato' Raja Muda Linggi berhampiran Bangunan Seremban Plaza apabila sekurang-kurangnya dua pokok besar tumbang atas jalan serta berdekatan tempat letak kereta bangunan berkenaan.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya banyak menerima laporan pokok besar tumbang termasuk di Taman Paroi Jaya, Jalan Ampangan dan Jalan Sikamat di sini.

"Kita menghantar beberapa pasukan membuat pemeriksaan serta membantu mengalihkan pokok terbabit dan sehingga jam 8.00 malam, anggota masih di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja terbabit," katanya.

Turut menerima nasib adalah peniaga pasar malam Ampangan apabila kerugian akibat barang jualan terutama makanan rosak selepas khemah diterbangkan angin.

myMetro 25 Mac 2016





0 comments:

Post a Comment