March 18, 2016

Remaja maut terjatuh dari pokok

FOTO Amran Hamid

`Saya goncang badan abang, tapi...'

Kuala Nerang: Remaja maut selepas terjatuh dari pokok ketika mencari sarang lebah kelulut di Kampung Tengah, Kurung Hitam, di sini, hari ini.

Mohd Hafizuddin Fadzil, 16, terjatuh ketika sedang memotong ranting pokok Pukul Lima yang dipanjatnya untuk mendapatkan sarang lebah kelulut, kira-kira 11.30 pagi.

Bagaimanapun, mangsa terjatuh apabila satu daripada ranting yang dipotong melibas belakang tubuhnya.

Adiknya, Mohd Firdaus, 13, berkata sebaik jatuh abangnya terus tidak sedarkan diri.

Katanya, mereka kemudian mengusung Mohd Hafizuddin hingga ke rumah, kira kira satu kilometer dari lokasi kejadian bersama tiga lagi rakan.

“Cemas melihat abang pengsan, saya goncang badannya. Namun, dia tetap tidak sedarkan diri. Kami mengusungnya sampai ke rumah dan terus memberitahu kakak mengenai kejadian.

"Kakak kemudian menghantar abang ke Hospital Kuala Nerang sebelum disahkan meninggal dunia, pada kira kira 2 petang," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Ahmad Nasir Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mangsa masih bernyawa ketika dikejarkan ke hospital, pada 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, Mohd Hafizuddin disahkan meninggal dunia.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

myMetro 17 Mac 2016


Korban Pukul Lima

Kuala Nerang: “Sebaik melihat abang (Mohd Hafizudin Fadzil, 16, terbaring di atas tanah, saya segera menghampirinya dan menggerakkan badan sambil memanggil namanya berulang kali, namun tiada jawapan. Bimbang sesuatu buruk berlaku, kami membawanya pulang ke rumah dengan motosikal.”

Begitu kata Mohd Firdaus Fadzil, 13, adik Mohd Hafizudin yang maut apabila terjatuh ketika memanjat pokok Pukul Lima dengan ketinggian 10 meter ketika mencari sarang lebah kelulut berhampiran kawasan Tanah Perkuburan Islam, Kampung Tengah, Mukim Kurung Hitam, semalam.

Mohd Firdaus berkata, sebelum kejadian jam 10 pagi, dia menemani abangnya dan dua rakan mereka mencari sarang lebah kelulut untuk dijual bagi mendapatkan wang bagi membaiki telefon bimbit abangnya yang rosak.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka niat murni abangnya itu bertukar tragedi apabila salah satu ranting yang dicantas abangnya itu membidas belakang badan mangsa, menyebabkan mangsa terjatuh dan terus tidak sedarkan diri.

“Sebaik tiba di rumah, abang masih tidak sedarkan diri menyebabkan kami segera membawanya ke hospital kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku terhadapnya.

“Selepas beberapa jam mendapatkan rawatan, doktor mengesahkan abang meninggal dunia dan ketika itu, saya merasakan dunia gelap seketika. Baru beberapa jam lepas kami bergelak ketawa bersama-sama, namun sekarang dia sudah meninggalkan saya buat selama-lamanya,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Menurut Mohd Firdaus, berikutan kejadian itu, dia nekad untuk tidak meneruskan hobi mencari wang saku menjual sarang lebah kelulut kerana masih trauma dengan apa yang menimpa abangnya.

myMetro 18 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment