March 11, 2016

Remaja maut rempuh kereta pesara guru

Orang ramai membantu mangsa sementara menunggu ketibaan ambulans dan pihak polis. - Foto pembaca Sinar Harian

TELUK INTAN - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta jenis Toyota di Jalan Sultan Abdullah, jam 10.45 pagi tadi.

Mangsa, Mohd Amierul Shafiq Zamri, 20, dari Parit 2B Sungai Manik, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Senior Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu kereta berkenaan yang keluar dari simpang Taman Antek Avenue.

"Kemudian kereta tersebut membelok ke kanan untuk memasuki jalan utama menghala ke Pekan-Teluk Intan dan kebetulan mangsa sedang menunggang motosikal dari arah bertentangan menuju ke Jalan Padang Tembak.

"Mangsa tidak sempat mengelak dan terus melanggar tepat ke arah pintu kanan bahagian hadapan kereta berkenaan dan menyebabkan dia meninggal dunia di lokasi," katanya melalui satu kenyataan.

Menurut Mohd Shuhaily, hasil daripada bedah siasat mendapati punca kematian remaja berkenaan adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat rempuhan berkenaan.

"Pemandu kereta berkenaan yang merupakan pesara guru berumur 67 tahun mengalami kecederaan di muka dan kepala selain retak tulang tangan kanan.

"Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sinar Harian 9 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment