March 14, 2016

Remaja maut langgar kereta buat pusingan U

Bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

KLANG - Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganinya merempuh sebuah kereta yang tiba-tiba membuat pusingan U dalam satu kejadian di Jalan Klang Sentral di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.48 pagi itu, mangsa, Muhammad Asyraaf Ridzuwan, 18, yang berasal dari Kampung Delek Baru di sini maut ditempat kejadian selepas terperosok di bawah kereta Perodua Myvi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, selepas menerima panggilan kecemasan sepasukan enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke tempat kejadian.

"Pihak kita sampai di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian dan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 telah terperosok di bawah kereta (Perodua Myvi).

"Kita menggunakan peralatan khas 'air lifting bag' untuk mengangkat kereta terbabit bagi mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kereta berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Sani lagi, pemandu kereta tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.

"Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk tindakan lanjut dan kes kemudian diserahkan kepada pihak polis," ujarnya. - K! ONLINE

14 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment