March 22, 2016

Remaja lemas selepas menjala ikan

Mohd Zulkifli mengangkat mayat anaknya, Mohd Zailani, 14, yang lemas dalam sungai di Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa, petang tadi. - Foto IHSAN BOMBA KELANTAN

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas dalam sungai di Kampung Kubang Tuman, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, petang tadi.

Mohd Zailani Mohd Zulkifli bersama empat rakannya ke sungai berkenaan untuk menjala ikan sebelum dia turun mandi.

Rakan mangsa, Mohd Rashid Rabilanai,13, berkata sebelum lemas rakannya berenang menyeberangi sungai dan akan berpatah balik untuk naik ke tebing.

"Setiba di tengah sungai ketika berpatah balik, saya lihat dia keletihan sebelum tenggelam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Azlan Zainal berkata, seramai 12 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

"Mangsa ditemui 10 meter dari tebing sungai dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat," katanya.

myMetro 21 Mac 2016




0 comments:

Post a Comment