March 6, 2016

Remaja lemas di lombong

ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa. FOTO ihsan Bomba

Ipoh: Remaja lelaki ditemui lemas di kawasan lombong berhampiran Taman Tiara Pasir Puteh dekat sini, kira-kira 3 petang tadi.

Mangsa Ryan Low Kin Hang, 14, dikatakan pergi ke lombong berkenaan untuk memancing ikan bersama beberapa rakannya.

Jurucakap jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, selesai memancing mangsa dikatakan mencuci kaki di kawasan tebing lombong berkenaan sebelum terjatuh lalu lemas ke dalam kawasan sedalam lebih enam meter itu.

Katanya, anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.04 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan bagi menjalankan operasi menyelamat.

"Mangsa dijumpai pasukan penyelamat pada 4.48 petang.

"Mangsa dipercayai jatuh kira-kira empat meter dari tebing lombong berkenaan," katanya.

Menurutnya sebaik sahaja dijumpai mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

myMetro 4 Mac 2016


Remaja lelaki maut lemas mandi dalam lombong

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa ke tebing sungai. - Gambar kecil: Kin Hong.

IPOH - Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai mandi di dalam sebuah lombong di Tiara Lake Park, Lahat di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Ryan Low Kin Hong, 14, ditemui Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh di dasar lombong sedalam enam meter pada jam 5 petang, selepas dipercayai hilang kira-kira dua jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama dua rakannya pergi ke lombong itu untuk memancing.

Menurutnya, mangsa dipercayai turun ke dalam lombong untuk mandi kerana keadaan cuaca yang terlalu panas, sebelum disedari hilang oleh rakannya.

“Kedua-dua rakan mangsa cuba membantu namun tidak berjaya. Mereka kemudiannya bertindak memaklumkan kepada bomba dan hospital untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan lebih kurang jam 11 pagi ini (semalam) mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

“Tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian tersebut dan mayat mangsa telah dituntut bapanya hari ini (semalam),” jelasnya.

Sinar Harian 6 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment