March 2, 2016

Rayu wang bedah kepala anak

Mohd Aseri mengurut kaki dan tangan kiri Mohammad Faiz secara berterusan dengan harapan mampu berfungsi semula dengan baik suatu hari nanti.

MACHANG - Sebuah keluarga di sini berdepan ujian getir apabila menjaga dua ahli keluarga sakit dalam satu masa, dengan pelbagai keperluan termasuk rawatan susulan dan bekalan oksigen.

Lebih malang apabila ketua keluarganya turut mengalami masalah kesihatan dan tidak mampu bekerja bagi menampung keperluan anak dan emak yang sakit.

Mohd Aseri Abdullah, 50 berkata, tidur malamnya dan isteri tidak lena memikirkan kos pembedahan anak sulung, Mohammad Faiz, 24, bagi memasang semula tempurung kepalanya.

Katanya, dia dan keluarga bergantung sepenuhnya kepada Mohammad Faiz sebelum ini bagi menyara keluarga, memandangkan dia menghadapi masalah kesihatan dan terpaksa berhenti kerja sejak dua tahun lalu.

Tambahnya, Mohammad Faiz terjatuh ketika melakukan kerja pemasangan di tempat kerjanya sebagai juruteknik sebuah syarikat kontraktor komunikasi.

“Mujurlah usianya panjang, kalau ikutkan doktor, harapannya tipis namun selepas sebulan tak sedarkan diri, kesihatannya bertambah baik walaupun tak sempurna.

“Tempurung kepalanya terpaksa dibuang, kaki dan tangan kirinya juga tak dapat berfungsi baik. Boleh dikatakan semua wang simpanan, saya guna untuknya, malah rawatan pembedahannya pertama juga masih berhutang dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya semalam.

Mohd Aseri berkata, untuk menjalani pembedahan yang dijangka hari ini atau esok, dia terpaksa membayar baki hutang, kira-kira RM1,600 sebelum masuk ke dewan bedah, manakala bagi kos pembedahan akan datang dijangka melebihi RM4,000.

Katanya, dia terpaksa berhutang dengan saudara mara bagi memastikan Mohammad Faiz dapat menjalani pembedahan memasang tempurung kepala, namun belum mencukupi memandangkan mereka juga hidup susah.

Jelasnya, sejak mengalami masalah bengkak usus sejak 15 tahun lalu, dia tidak mampu bekerja berat, namun terpaksa bertahan sehingga Mohammad Faiz bekerja dan mengambil alih tanggungjawab mencari rezeki.

“Saya turut menjaga ibu mertua, (Wan Meriam Wan Abdullah, 90) yang uzur dan mengalami masalah paru-paru sejak Disember lalu. Dia terlantar dan memerlukan oksigen untuk meneruskan kehidupan, kalau tak ada oksigen, pelbagai masalah akan timbul termasuk anggota badan akan menjadi kebiru-biruan.

“Harga sebalang oksigen RM50 dan hanya mampu bertahan dua hari. Bukan sedikit perbelanjaan kami menampung keperluan ibu dan anak, lebih RM1,000 sebulan. Saya tak tahu ke mana hendak dituju. Tapi berterima kasih kepada semua yang membantu kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan ke akaun CIMB, Nurul Shafiqah Mohd Aseri di nombor 7051131030 atau menghubungi 019-9214645.

Sinar Harian 1 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment